Pakistan arah tahan rakyat Afghanistan tanpa dokumen sah

Seorang pemilik kedai runcit sedang melayan pelanggan di premisnya di Karachi/Foto REUTERS 

ISLAMABAD, 29 Jun – Kementerian Dalam Negeri Pakistan mengarahkan pihak berkuasa di seluruh negara supaya menahan serta-merta mana-mana warga Afghanistan yang didapati menetap di negara itu tanpa visa yang sah bermula 10 Julai depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Arahan dihantar kepada ketua setiausaha semua wilayah dan pentadbiran berkaitan susulan mesyuarat semakan Pelan Penghantaran Pulang pada 1 Jun lalu.
  • Kementerian mengarahkan kerajaan wilayah, pentadbiran daerah, polis dan agensi penguatkuasa mempercepatkan penghantaran pulang serta pengusiran termasuk mereka melebihi tempoh visa.
  • Notifikasi menetapkan laporan harian bermula 11 Julai kepada kementerian tentang bilangan warga Afghanistan tanpa visa sah, tindakan diambil serta status semasa.

Arahan yang dihantar kepada ketua setiausaha semua wilayah, pentadbiran wilayah Gilgit-Baltistan, Kashmir yang ditadbir Pakistan serta Wilayah Ibu Kota Islamabad itu susulan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat semakan Pelan Penghantaran Pulang Pendatang Asing Tanpa Izin pada 1 Jun lalu.

Kementerian turut mengarahkan kerajaan wilayah, pentadbiran daerah, pasukan polis serta agensi penguat kuasa lain supaya mempercepatkan proses penghantaran pulang dan pengusiran warga Afghanistan, termasuk mereka yang tinggal melebihi tempoh sah visa, serta memastikan pelaksanaan pelan penghantaran pulang itu dipatuhi sepenuhnya.

Notifikasi berkenaan turut mengarahkan pihak berkuasa mengemukakan laporan harian kepada kementerian bermula 11 Julai mengenai jumlah warga Afghanistan yang didapati tidak memiliki visa sah, tindakan yang telah diambil terhadap mereka serta status semasa masing-masing.

Pakistan melancarkan operasi besar-besaran terhadap pendatang asing tanpa dokumen di seluruh negara pada 2023 sebelum memperluaskan usaha penghantaran pulang pada tahun lalu selepas membatalkan permit kediaman yang dipegang oleh ratusan ribu warga Afghanistan.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), lebih sejuta warga Afghanistan telah kembali ke negara mereka pada tahun lalu.

Agensi PBB itu turut memaklumkan bahawa proses penghantaran pulang berterusan pada 2026 dengan hampir 150,000 warga Afghanistan kembali dari Pakistan dan Iran menjelang pertengahan Februari. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.