Cuaca panas melampau: 1,300 kematian dicatatkan di seluruh Eropah

Orang ramai di Paris mengisi air minuman di paip air awam/Foto REUTERS 

GENEVA, 29 Jun – Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran bahawa gelombang haba dipercayai mengakibatkan lebih 1,300 kematian di seluruh Eropah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Eropah memanas dua kali ganda lebih pantas berbanding purata global, menjadikan gelombang haba semakin kerap akibat perubahan iklim.
  • Kira-kira 150 juta orang hidup dalam cuaca panas melampau; sekolah ditutup dan sistem bekalan elektrik semakin terbeban.
  • Tedros mengingatkan haba sebagai pembunuh senyap; kira-kira 500,000 kematian setahun berkaitan haba, banyak boleh dicegah.

“Lebih 1,300 kematian direkodkan sejak 21 Jun yang dikaitkan dengan suhu tinggi di Eropah,” kata Tedros menerusi hantaran di platform X.

Beliau memaklumkan Eropah merupakan benua yang mengalami pemanasan paling pantas di dunia dengan kadar peningkatan suhu dua kali ganda berbanding purata global.

“Ketika ini, kira-kira 150 juta penduduk hidup dalam keadaan cuaca panas melampau, ratusan nyawa telah terkorban, sekolah ditutup dan sistem bekalan elektrik semakin terbeban,” katanya.

Menurut beliau, fenomena gelombang haba yang dahulunya dianggap berlaku sekali dalam satu generasi kini hampir menjadi kejadian tahunan akibat perubahan iklim dan pemanasan global.

Minggu ini, beberapa negara Eropah termasuk Jerman, Poland dan Republik Czech mencatat rekod baharu apabila bacaan suhu mencecah sekitar atau melebihi 40 darjah Celsius.

Tedros berkata tegasan haba sering digelar sebagai “pembunuh senyap” dan kebanyakan kediaman, tempat kerja dan sekolah di Eropah tidak direka bentuk untuk menghadapi suhu yang tinggi.

Awal minggu ini, beliau turut mengingatkan bahawa kira-kira 500,000 orang di seluruh dunia meninggal dunia setiap tahun akibat faktor berkaitan haba, sambil menegaskan banyak daripada kematian itu sebenarnya boleh dicegah. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.