Bayi empat bulan antara terperangkap kepala air diselamatkan

Foto Balai Bomba dan Penyelamat Yan

YAN, 29 Jun – Seorang bayi lelaki berusia empat bulan antara enam penduduk Kampung Permatang Keramat yang terperangkap dalam kejadian kepala air di sini pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fenomena kepala air menyebabkan limpahan air sungai memasuki kawasan kampung, menimbulkan risiko kepada penduduk.
  • Satu jentera Light Fire Rescue Tender dan enam anggota bomba digerakkan, tiba di lokasi selepas panggilan kecemasan.
  • Anggota menggunakan tali dan jaket keselamatan untuk menyeberang dan menyelamatkan mangsa; kes diserahkan kepada Jawatankuasa Keselamatan Kampung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Mohd Farid Mohd Razali memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.16 pagi mengenai limpahan air sungai dari Gunung Jerai yang memasuki kawasan perkampungan.

“Setiba di lokasi pada kira-kira 10.32 pagi didapati berlaku fenomena kepala air yang menyebabkan air sungai melimpah masuk ke kawasan kampung.

“Satu jentera bomba ‘Light Fire Rescue Tender’ dari Balai Bomba dan Penyelamat Yan digerakkan ke lokasi kejadian bersama enam anggota,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, anggota menjalankan operasi menyelamat dengan menyeberangi kawasan yang ditelenggami air menggunakan tali penyelamatan dan jaket keselamatan bagi membantu mangsa keluar dari kawasan berisiko berkenaan.

Hasil operasi tersebut, kesemua mangsa yang turut terdiri daripada dua lelaki dan wanita serta kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu, berjaya diselamatkan.

“Kesemua mangsa diserahkan kepada Jawatankuasa Keselamatan Kampung untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11:19 pagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.