
NEW DELHi, 28 Jun – Bekas Perdana Menteri Bangladesh yang kini menjadi buruan, Sheikh Hasina, berikrar akan kembali ke negaranya “pada tahun ini”, menurut satu wawancara yang disiarkan pada Ahad, beberapa bulan selepas beliau dijatuhi hukuman mati secara in absentia atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan.
- Hasina melarikan diri ke India pada Ogos 2024 selepas kebangkitan mahasiswa menamatkan pemerintahannya selama 15 tahun.
- Sejak itu beliau jarang muncul, kecuali satu ucapan yang disiarkan di kelab akhbar New Delhi Januari lalu.
- Dalam wawancara NDTV, beliau berkata tidak gentar dengan hukuman mati dan menganggap keputusan mahkamah bermotif politik.
- Pada November mahkamah Dhaka mendapati beliau bersalah, menjatuhkan hukuman gantung; parti Liga Awami turut diharamkan dan tuntutan ekstradisi dibuat.
Hasina, 78, melarikan diri ke negara jiran, India, pada Ogos 2024 selepas kebangkitan yang diterajui pelajar menamatkan pemerintahan beliau selama 15 tahun yang disifatkan sebagai autokrasi.
Sejak itu, beliau tidak lagi muncul di khalayak ramai, kecuali dalam satu ucapan yang disiarkan kepada hadirin di sebuah kelab akhbar di New Delhi pada Januari lalu.
Dalam wawancara bersama penyiar India, NDTV, Hasina berkata beliau tidak gentar menghadapi hukuman mati dan menyifatkan keputusan mahkamah terhadapnya sebagai “sebahagian daripada proses yang menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan bermotifkan politik.”
“Banyak konspirasi telah dirancang terhadap saya. Namun, setelah mengharungi setiap konspirasi, saya telah dipilih sebagai perdana menteri sebanyak lima kali melalui undi rakyat dan berusaha membawa pembangunan yang belum pernah dicapai sebelum ini kepada negara,” katanya.
“Saya ingin menyatakan dengan jelas, dengan mengatasi setiap halangan dan setiap konspirasi, saya akan kembali ke negara saya pada tahun ini,” tambahnya ketika ditanya sama ada beliau tetap akan pulang walaupun berdepan hukuman mati.
Pada November lalu, sebuah mahkamah di Dhaka mendapati Hasina bersalah atas pertuduhan menghasut, mengarahkan pembunuhan serta gagal mengambil tindakan bagi menghalang kekejaman, sebelum menjatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Aktiviti parti pemerintah yang pernah dipimpinnya, Liga Awami, yang suatu ketika dahulu merupakan antara parti paling popular di Bangladesh, turut diharamkan.
Hubungan antara India dengan Bangladesh bertambah baik selepas Perdana Menteri Tarique Rahman mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya di negara Asia Selatan yang mempunyai kira-kira 170 juta penduduk itu pada Februari lalu.
Bagaimanapun, hubungan kedua-dua negara masih berdepan ketegangan apabila Bangladesh berulang kali menuntut India mengekstradisi Sheikh Hasina. – AFP