Muhammad Faris dizahirkan Undang Luak Sungei Ujong ke-11

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menerima menghadap Undang Luak Sungei Ujong ke-11 Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari/Foto BERNAMA

KUALA PILAH, 27 Jun – Muhammad Faris Johari dizahirkan sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11 bergelar Datuk Klana Petra dalam satu istiadat penuh adat yang disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesinambungan Adat Perpatih diperkukuh sebagai tunjang pemerintahan beraja selaras adat 'patah tumbuh, hilang berganti'.
  • Baginda menerima lafaz taat setia dengan penghargaan dan berharap janji dipegang dengan keikhlasan, amanah dan rasa tanggungjawab.
  • Muhammad Faris, Waris Klana Hulu berketurunan Datuk Klana Petra Bador, seorang akauntan bertauliah berkhidmat di firma insurans antarabangsa.

Penzahiran itu meneruskan kesinambungan institusi Adat Perpatih yang menjadi tunjang pemerintahan beraja di Negeri Sembilan selaras dengan perbilangan adat “patah tumbuh, hilang berganti.”

Dalam titah, Tuanku Muhriz menzahirkan sukacita menerima lafaz taat setia yang dipersembahkan serta berharap amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab.

“Beta menerima lafaz taat setia itu dengan penuh penghargaan dan berharap segala janji yang telah dilafazkan akan sentiasa dipegang dengan penuh keikhlasan, amanah dan rasa tanggungjawab,” titah Baginda.

Muhammad Faris, 29, merupakan Waris Klana Hulu yang berketurunan langsung Datuk Klana Petra Bador mengikut nasab ibu serta seorang akauntan bertauliah yang kini berkhidmat di sebuah firma insurans dan perundingan risiko antarabangsa.

Baginda turut menyeru kepimpinan adat di semua luak agar terus memperkukuh institusi Adat Perpatih, menjunjung nilai warisan adat serta memelihara perpaduan demi memastikan kelangsungan institusi Undang di Negeri Sembilan.

Istiadat berkenaan turut dihadiri Orang Besar Berempat, waris beradat, Ibu Soko serta pemegang-pemegang adat yang berkaitan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.