Lapan cedera dalam insiden bas terbabas di Nilai

Keadaan bas yang terbabas. Foto/FB

SEREMBAN, 27 JUN – Lapan cedera dalam insiden sebuah bas ekspres terbabas di Kilometer 275.4 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Nilai petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bas dari Terminal Bersepadu Selatan ke Johor Bahru dipercayai hilang kawalan dan melanggar tiang konkrit.
  • Pemandu berusia 46 tahun tersepit, patah pergelangan kaki kanan dan tulang rusuk; dirawat di Zon Merah Hospital Tuanku Ja'afar Seremban.
  • Pembantu pemandu dan tujuh penumpang berumur 19 hingga 54 mengalami pelbagai kecederaan; dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban.
  • Polis menyiasat, mengambil sampel darah pemandu, memeriksa rakaman CCTV dan mengesan saksi; kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, bas yang membawa 15 penumpang dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menuju Johor Bahru berkenaan dipercayai hilang kawalan dan melanggar tiang konkrit.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, pemandu bas berusia 46 tahun tersepit di tempat duduk dan mengalami patah pergelangan kaki kanan serta tulang rusuk.

Dia kini menerima rawatan di Zon Merah Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.

Turut cedera ialah pembantu pemandu dan tujuh penumpang berusia antara 19 hingga 54 tahun yang mengalami pelbagai kecederaan.

Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk rawatan lanjut.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila bas berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas.

Polis turut menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan saksi bebas, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup, memeriksa bas terlibat serta mengambil sampel darah pemandu bagi ujian toksikologi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai bagi membantu siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.