
HYDERABAD, 10 September – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-India Mengenai Pertanian dan Perhutanan (AIMMAF) ke-9 di New Delhi pada Rabu.
- Sesi bersama saintis, penyelidik dan pemain industri menukar pandangan tentang cabaran pertanian serta peranan teknologi memperkukuh sektor agromakanan.
- Kerjasama ASEAN-India perlu diperkasa melalui R&D, pemindahan teknologi, pelaburan dan pengukuhan rantaian nilai bagi keterjaminan makanan serantau.
- Perluasan perkongsian pertanian akan menggalakkan inovasi teknologi dan mewujudkan peluang baru untuk petani serta perniagaan.
Mohamad menerusi hantaran di Facebook berkata sesi bersama saintis, penyelidik dan pemain industri India memberi peluang untuk bertukar pandangan mengenai cabaran pertanian serta peranan teknologi dalam memperkukuh sektor agromakanan.
“Sesi ini menjadi ruang bertukar pandangan dan kepakaran mengenai cabaran pertanian serta peranan teknologi dalam memperkukuh sektor agromakanan di rantau ini.
“Kerjasama ASEAN-India perlu terus diperkasa bukan sahaja melalui perdagangan, tetapi juga dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemindahan dan pembangunan teknologi, pelaburan serta pengukuhan rantaian nilai,” katanya.
Menurut beliau perkongsian ilmu dan kepakaran ini penting dalam usaha meningkatkan produktiviti pertanian serta memperkukuh keterjaminan makanan serantau.
Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn menerusi ucapan prarakaman pada mesyuarat peringkat menteri itu menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama ASEAN-India dalam keterjaminan makanan.
Kao berkata India merupakan rakan ekonomi penting ASEAN sambil memaklumkan perdagangan dua hala barangan pada tahun kewangan 2025-26 berjumlah US$128 bilion.
“Makanan dan pertanian merupakan bahagian penting dalam hubungan ini, dengan potensi besar untuk memperluas perdagangan dua hala, memperkukuh rantaian nilai serantau serta mewujudkan peluang baharu untuk petani dan perniagaan,” kata Setiausaha Agung ASEAN itu.
Menteri Pertanian India Shivraj Singh Chouhan menggesa perkongsian pertanian India-ASEAN diperluas lagi bagi menggalakkan inovasi teknologi dan hubungan serantau.- BERNAMA