
KUALA LUMPUR, 10 September – UMNO perlu bersifat terbuka dalam kerjasama semua pihak demi kelangsungan parti pada masa hadapan.
- Kerjasama mesti dianjurkan ikhlas, berasaskan kepentingan strategik politik Melayu Islam, bukan bermusim atau mengambil kesempatan.
- Sokong kerajaan perpaduan; laksanakan dasar ekonomi kolektif untuk kestabilan negara ketika cabaran geopolitik global.
- Amalkan politik budiman dengan kritik berhemah, urus perbezaan secara sopan dan belajar daripada model politik Sarawak.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata iktibar perlu diambil hasil daripada prestasi parti tersebut di dua negeri semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, namun, sifat terbuka tersebut perlu ada kejelasannya.
“Ia mestilah dianjurkan dengan niat yang ikhlas, bersandarkan kepentingan strategik politik Melayu Islam. Bukan berjeda dan terputus-putus. Bukan bermusim dan bukan sama sekali untuk mengambil kesempatan atas kekuatan atau kelemahan parti ini,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama tersebut perlu bersandarkan visi ‘Rumah Bangsa’ yang dipelopori oleh parti tersebut.
Beliau juga menzahirkan sokongan terhadap kerajaan perpaduan dalam menanam sifat kerjasama berbilang kaum.
“Banyak dasar dan program yang baik untuk mengembangkan dan menumbuhkan ekonomi negara telah berjaya dilaksanakan oleh kerajaan perpaduan.
“Walaupun semasa negara kita berhadapan dengan kerumitan ekonomi dampak krisis geopolitik global, semuanya UMNO sokong sebagai tanggungjawab kolektif dalam kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Mohamad berkata negara ini sangat merindukan ‘politik budiman’ generasi dahulu.
Katanya, kritikan disuarakan dengan cermat, teguran dibuat dengan seribu hikmah dan perbezaan diuruskan dengan sopan.
“Kadang-kadang kita lupa bahawa, Sarawak adalah model politik yang benar-benar menampilkan kepelbagaian Malaysia.
“Banyak yang kita boleh pelajari dari cerita politik Sarawak dan bagaimana mereka menghindari politik toksik yang memualkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.