
PARIS, 25 Jun -Gelombang haba ekstrem yang melanda Eropah kini memasuki tahap kritikal apabila lebih 100 juta penduduk dijangka berdepan suhu panas melebihi 35° darjah celcius hari ini (Khamis).
- Hampir dua pertiga penduduk Eropah, sekitar 380 juta, kini alami suhu melebihi 30°C.
- Perancis paling teruk: kira-kira 50 juta terdedah melebihi 35°C dan 63 juta hadapi suhu melebihi 30°C.
- Jerman catat 18 juta terkesan melebihi 35°C dan 70 juta hadapi >30°C; Itali 48 juta, Britain 38 juta.
- Gelombang haba merebak ke Belgium, Luxembourg, Belanda, Poland, Hungary, Republik Czech dan Croatia.
Analisis ramalan cuaca terbaharu mendedahkan bahawa hampir dua pertiga daripada keseluruhan populasi benua itu atau sekitar 380 juta orang kini terperangkap dalam bahang panas melepasi 30 darjah celcius dengan Perancis dan Jerman dilaporkan sebagai negara yang paling terkesan.
Berdasarkan pengiraan data yang diselaraskan oleh agensi berita AFP, situasi tersebut menunjukkan lonjakan berbanding hari sebelumnya iaitu seramai 94 juta penduduk terkesan oleh suhu ekstrem berkenaan.
Hasil unjuran data yang menggunakan model ramalan cuaca perkhidmatan meteorologi Jerman (DWD) dan populasi Pusat Penyelidikan menunjukkan bahawa Perancis merupakan wilayah paling teruk terjejas.
Di negara berkenaan, kira-kira 50 juta penduduk terdedah kepada suhu melebihi 35°C, manakala sekitar 63 juta lagi terpaksa berhadapan dengan suhu melebihi 30°C di semenanjung negara itu.
Jerman turut mencatatkan angka membimbangkan apabila 18 juta rakyatnya terkesan oleh suhu 35°C, manakala bahang panas melepasi 30°C menyelubungi 70 juta penduduknya.
Keadaan serupa turut dilaporkan berlaku di Itali dengan melibatkan 48 juta penduduk dan Britain dengan 38 juta penduduk.
Gelombang haba yang mencengkam Eropah Barat sejak hujung minggu lalu kini disahkan mula melanda ke negara-negara jiran termasuk Belgium, Luxembourg, Belanda, Poland, Hungary, Republik Czech, dan Croatia. – AFP