
RIO DE JANEIRO, 23 Jun – Bintang Brazil, Neymar, berpeluang membuat penampilan sulungnya pada Piala Dunia 2026 apabila skuad Selecao dijasdual menentang Scotland dalam aksi Kumpulan C pada Khamis.
- Ancelotti sedang menilai tahap kecergasan Neymar selepas dia terlepas dua perlawanan awal akibat kecederaan betis.
- Neymar kembali menjalani latihan penuh dan sertai sesi taktikal; rakan sepasukan Martinelli yakin dia berada dalam keadaan sangat baik.
- Pemilihan beliau mencetuskan perdebatan, manakala pengurusan berhati-hati diperlukan untuk melindungi kecergasan dan peluang Brazil mara lebih jauh.
Jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti, kini sedang menilai tahap kecergasan pemain berusia 34 tahun itu selepas terlepas dua perlawanan awal kejohanan.
Neymar dipanggil semula ke skuad kebangsaan oleh Ancelotti selepas hampir tiga tahun tidak mewakili Brazil, namun masih belum diturunkan dalam kejohanan kali ini selepas mengalami kecederaan betis lebih lima minggu lalu.
Ketiadaannya dalam dua perlawanan pembukaan menentang Maghribi dan Haiti terus mencetuskan tanda tanya mengenai kemampuan pemain itu untuk kembali berada pada prestasi terbaik selepas melalui tempoh panjang dibelenggu kecederaan.
Penampilan terakhir Neymar bersama Brazil adalah pada 2023 apabila dia mengalami kecederaan lutut serius ketika aksi kelayakan Piala Dunia menentang Uruguay.
Sejak itu, beliau terpaksa berehat lebih 650 hari akibat beberapa kecederaan yang dialami ketika beraksi di Arab Saudi dan selepas kembali menyertai kelab zaman kanak-kanaknya, Santos, tahun lalu.
Usaha menghidupkan semula kariernya bagaimanapun tidak berjalan lancar apabila beberapa kecederaan baharu serta kontroversi luar padang terus mengganggu rentak permainannya.
Tahun ini, Neymar merekodkan enam gol dan empat bantuan jaringan dalam 15 penampilan, namun beliau dikendalikan secara berhati-hati dan tidak pernah beraksi lebih daripada empat perlawanan berturut-turut sejak kembali selepas pembedahan lutut pada Februari lalu.
Pemilihan Neymar ke dalam skuad Piala Dunia oleh Ancelotti turut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak Brazil, terutama kerana tahap kecergasannya masih menjadi persoalan ketika itu.

Selepas terlepas aksi menentang Maghribi dan Haiti, Neymar kembali menjalani latihan penuh minggu lalu. Pada Isnin (waktu tempatan), beliau menyertai sesi latihan taktikal dan latihan berpasukan pertamanya di bawah kendalian Ancelotti.
Rakan sepasukan, Gabriel Martinelli, percaya Neymar sudah bersedia untuk kembali beraksi.
“Dia berada pada tahap yang sangat baik dan anda boleh melihat intensitinya dalam sesi latihan. Dia begitu bersemangat untuk bersama kami dan kualitinya tidak perlu dipertikaikan lagi.
“Sama ada dia akan diturunkan atau tidak, itu keputusan jurulatih. Namun, saya percaya, dia berada dalam keadaan yang sangat baik,” kata Martinelli.
Brazil kini mendahului Kumpulan C dengan empat mata, berkongsi jumlah mata yang sama dengan Maghribi tetapi memiliki kelebihan perbezaan gol. Scotland berada di tangga ketiga dengan tiga mata.
Selepas terikat seri 1-1 dengan Maghribi dalam aksi pembukaan, Brazil bangkit membelasah Haiti 3-0 dan kini memerlukan satu lagi persembahan meyakinkan menentang Scotland bagi mengukuhkan peluang muncul juara kumpulan.
Brazil akan mara ke pusingan 32 terbaik selaku juara kumpulan sekiranya mengelak kekalahan kepada Scotland dan pada masa sama Maghribi gagal menewaskan Haiti. – REUTERS