Mbappe ledak dua gol bantu Perancis belasah Iraq

Penyerang Perancis, Kylian Mbappe, meraikan jaringan gol semasa perlawanan bola sepak Kumpulan I Piala Dunia 2026 antara Perancis dan Iraq di Stadium Philadelphia, Philadelphia / foto AFP

PHILADELPHIA, 23 Jun – Kylian Mbappe meraikan penampilan ke-100 bersama Perancis dengan menjaringkan dua gol ketika membantu juara dunia itu menewaskan Iraq 3-0 dalam aksi Piala Dunia 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perancis mengesahkan tempat ke pusingan 32 selepas dua kemenangan dalam Kumpulan I.
  • Ousmane Dembele melengkapkan kemenangan selepas kesilapan pertahanan Iraq yang menghadiahkan gol kedua.
  • Perlawanan dihentikan lebih dua jam akibat ribut dan hujan lebat, disambung selepas padang dibersihkan.
  • Mbappe kini menyamai rekod 16 gol Piala Dunia, melepasi pencapaian Ronaldo yang 15 gol.

Kapten Perancis itu membuka tirai jaringan pada minit ke-14 sebelum menambah gol kedua pada minit ke-54, manakala pemenang Ballon d’Or 2025, Ousmane Dembele, melengkapkan kemenangan selesa skuad Les Bleus di Philadelphia.

Kemenangan itu menyaksikan Perancis mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik selepas mengumpul dua kemenangan daripada dua perlawanan dalam Kumpulan I.

Mbappe kini telah menjaringkan 16 gol dalam sejarah penampilannya di Piala Dunia, hanya dua gol di belakang Lionel Messi yang mencipta rekod baharu dengan 18 gol selepas meledak dua jaringan ketika Argentina menewaskan Austria, hari ini.

Perlawanan yang berlangsung di Lincoln Financial Field itu bermula pada pukul 5.00 petang waktu tempatan sebelum dihentikan pada waktu rehat akibat ribut kuat yang melanda kawasan sekitar stadium.

Hujan lebat yang turun menjelang penghujung babak pertama memaksa penyokong meninggalkan tempat duduk terbuka dan berlindung di kawasan berbumbung, manakala pemain kedua-dua pasukan terpaksa menunggu di bilik persalinan.

Aksi hanya disambung semula lebih dua jam kemudian selepas keadaan cuaca kembali selamat dan padang dibersihkan.

Seorang jurukamera memakai baju hujan ketika perlawanan bola sepak Kumpulan I Piala Dunia 2026 antara Perancis dan Iraq / foto AFP

Gol pertama Mbappe hadir menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti selepas mengawal hantaran menggunakan kaki kanan, sekali gus menewaskan penjaga gol Iraq, Ahmed Basil.

Iraq kemudian menerima tamparan apabila kapten dan penyerang utama mereka, Aymen Hussein, terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-26.

Sebaik permainan bersambung selepas penangguhan, Iraq menghadiahkan gol kedua kepada Perancis menerusi kesilapan mudah benteng pertahanan mereka.

Percubaan pemain pertahanan, Zaid Tahseen, untuk mengembalikan bola kepada Ahmed Basil menerusi sepakan gol gagal apabila hantaran terlalu kuat dan tersasar. Ousmane Dembele pantas memanfaatkan situasi itu sebelum melorongkan bola kepada Mbappe untuk disudahkan ke gawang kosong.

Michael Olise hampir menambah jaringan apabila percubaan lambungannya terkena palang sebelum pemain Bayern Munich itu mencipta bantuan gol kepada Dembele yang menyempurnakan peluang pada minit ke-66.

Mbappe kini menyamai rekod 16 gol Piala Dunia milik legenda Jerman, Miroslav Klose, dan telah mengatasi pencapaian bekas penyerang Brazil, Ronaldo Nazario yang menjaringkan 15 gol.

Bintang Real Madrid berusia 27 tahun itu turut meneruskan rentak cemerlang selepas meledak dua gol ketika Perancis menewaskan Senegal 3-1 dalam aksi pembukaan minggu lalu.

Dengan 60 gol dalam 100 penampilan antarabangsa, Mbappe semakin mengukuhkan statusnya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis.

Perancis akan menentang Norway yang diketuai Erling Haaland dalam perlawanan terakhir kumpulan di Boston pada Sabtu ini.

Sementara itu, Iraq semakin hampir tersingkir awal selepas turut tewas 1-4 kepada Norway dalam perlawanan pertama. Mereka kini merekodkan lima kekalahan daripada lima perlawanan sepanjang dua penyertaan mereka di Piala Dunia yang dipisahkan tempoh 40 tahun. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.