
PHILADELPHIA, 23 Jun – Perlawanan Piala Dunia 2026 antara Perancis dan Iraq terpaksa ditangguhkan lebih dua jam akibat ribut kuat yang melanda Philadelphia sebelum aksi itu disambung semula pada malam Isnin.
- Perlawanan Kumpulan I di Lincoln Financial Field bermula pada pukul 5.00 petang dalam cuaca baik.
- Hujan lebat mula turun menjelang penghujung babak pertama; penganjur mengeluarkan amaran cuaca buruk ketika waktu rehat.
- Penyokong diarahkan meninggalkan tempat duduk terbuka dan bergerak ke kawasan berbumbung sebaik wisel penamat separuh masa dibunyikan.
- Perlawanan disambung selepas penganjur membersihkan takungan air di padang dan memastikan keadaan cuaca kembali selamat.
Perlawanan Kumpulan I yang berlangsung di Lincoln Financial Field, yang dinamakan semula sebagai Stadium Philadelphia sepanjang kejohanan, bermula pada pukul 5.00 petang (waktu tempatan) dalam keadaan cuaca baik.
Bagaimanapun, hujan lebat mula turun menjelang penghujung babak pertama sebelum pihak penganjur mengeluarkan amaran cuaca buruk ketika waktu rehat.
Penyokong kemudiannya diarahkan meninggalkan kawasan tempat duduk terbuka dan mendapatkan perlindungan di kawasan berbumbung stadium sebaik wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan.

Majoriti tempat duduk di stadium berkapasiti 68,324 penonton itu tidak berbumbung, menyebabkan ribuan penyokong memenuhi ruang legar dan kawasan berbumbung untuk berlindung daripada cuaca buruk.
Perlawanan hanya disambung semula pada pukul 8.00 malam (waktu tempatan) selepas pihak penganjur memastikan padang dibersihkan daripada takungan air dan keadaan cuaca kembali selamat.
Ia merupakan perlawanan pertama pada Piala Dunia 2026 yang terjejas akibat ancaman cuaca buruk, susulan pelaksanaan protokol keselamatan ketat di Amerika Syarikat (AS) apabila ribut dikesan di kawasan berhampiran venue pertandingan.
Ketika perlawanan dihentikan, Perancis mendahului Iraq 1-0 menerusi jaringan penyerang bintang, Kylian Mbappe pada minit ke-14.

Tahun lalu, beberapa perlawanan Piala Dunia Kelab di AS turut mengalami kelewatan akibat cuaca buruk.
Antara yang paling ketara ialah perlawanan pusingan 16 terbaik antara Chelsea dan Benfica di Charlotte yang terpaksa dihentikan hampir tiga jam ketika penghujung masa sebenar. – AFP