
TIJUANA, 19 JUN – Skuad bola sepak Iran akan membuat aduan rasmi kepada FIFA selepas dikenakan sekatan perjalanan menuju ke Amerika Syarikat menjelang perlawanan peringkat kumpulan G menentang Belgium awal pagi Ahad ini.
- Skuad Iran terkandas di Tijuana selepas permintaan untuk tiba di Los Angeles dua hari lebih awal ditolak oleh penganjur.
- Pasukan terpaksa memindahkan kem latihan dari Amerika Syarikat ke Mexico dan menghadapi penafian visa serta sekatan pergerakan.
- Walaupun berdepan tekanan luar padang, Iran kekal cemerlang dengan satu mata hasil seri 2-2 menentang New Zealand.
Jurucakap pasukan Iran mendakwa, mereka kini masih terkandas di Tijuana, Mexico selepas permintaan untuk berada di Los Angeles dua hari lebih awal ditolak.
“Walaupun telah menyerahkan jadual persediaan untuk kejohanan itu lebih awal, Iran sekali lagi dikenakan sekatan oleh penganjur. Masalah ini telah menjejaskan rancangan kami.
“Kami perlu berada di Los Angeles lebih awal kerana perlawanan akan bermula pada pukul 12:00 tengah hari waktu tempatan. Para pemain memerlukan masa untuk menyesuaikan diri di sana,”katanya.
Iran sebelum ini turut ditekan dengan pelbagai kesukaran di luar padang akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Pasukan itu dipaksa memindahkan kem latihan asal dari Amerika Syarikat ke Mexico selain turut menghadapi masalah pentadbiran seperti penafian visa serta sekatan pergerakan yang dikenakan penganjur.
Walaupun berdepan pelbagai tekanan, skuad bimbingan Amir Ghalenoei itu kekal cemerlang di pentas Piala Dunia dengan meraih satu mata apabila seri 2-2 sewaktu berdepan New Zealand pada aksi pertama peringkat kumpulan.