
SEPANG, 18 Jun – Pembukaan cawangan MyTreasure di KLIA2, langkah strategik penting untuk mempromosikan produk tempatan kepada pelancong antarabangsa.
- Hab sehenti memudahkan pelancong membeli ole-ole dan produk warisan Malaysia sebelum berlepas.
- Tourism Malaysia akan terus promosikan produk tempatan dan wellness melalui misi jualan ke pasaran antarabangsa.
- Malaysia Treasures tawarkan 10 cenderamata premium termasuk Musang King, madu kelulut, sarang burung, kopi putih dan kek Pandan Cloud.
- Inisiatif JYY Group sokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026, tingkatkan akses produk IKS dan impak ekonomi negara.
Hab sehenti itu memudahkan pelancong membeli ole-ole dan produk warisan Malaysia sebelum berlepas pulang.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, berkata kewujudan hab sehenti tersebut bukan sahaja mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan, malah menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan produk berasaskan kesihatan dan kesejahteraan.
“Bagi pihak Tourism Malaysia, kami akan terus mempromosikan produk tempatan ini setiap kali mengadakan misi jualan (sales mission) ke luar negara. Usaha ini bukan sahaja mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan, malah menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan produk berasaskan kesihatan dan kesejahteraan (wellness) kita ke pasaran antarabangsa,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan perasmian cawangan tersebut di KLIA2, hari ini.
Kedai yang dikenali dengan nama rasmi Malaysia Treasures itu berkonsepkan hab sehenti yang menghimpunkan 10 cenderamata tempatan terbaik negara termasuk siri durian Musang King, madu kelulut (Trigona Honey) daripada JYNNS, sarang burung, kopi putih, dan kek span Pandan Cloud khusus untuk pelancong domestik serta antarabangsa.
“Kolaborasi bersama pihak swasta merupakan pemacu penting dalam memastikan pelancong mendapat akses mudah kepada cenderamata premium Malaysia sebelum pulang ke negara masing-masing,” tambahnya.
Hab sehenti tersebut merupakan Inisiatif oleh JYY Group dan ia dilihat sebagai langkah strategik sektor swasta dalam menyokong aspirasi kerajaan untuk memperkenalkan keunikan produk Malaysia kepada dunia melalui elemen kesihatan dan kesejahteraan.
“Langkah JYY Group ini merupakan komitmen murni sektor swasta dalam menyokong aspirasi kerajaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. Inisiatif hab sehenti ini amat bertepatan memandangkan pelancong asing sentiasa mencari cenderamata unik untuk dibawa pulang. Melalui konsep ‘dua dalam satu’ ini, kita bukan sahaja menawarkan buah tangan yang ikonik, malah mengetengahkan produk tempatan berasaskan kesihatan dan kesejahteraan (wellness) ke pasaran global,” katanya.
Langkah proaktif MyTreasure memusatkan produk ikonik tanah air di pintu masuk utama negara meletakkan standard baharu buat industri hiliran dan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan untuk bersaing di peringkat global sekali gus menyemarakkan lagi impak ekonomi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.