
MADRID, 18 Jun – Real Madrid mengumumkan kehadiran pertahanan tengah Perancis, Ibrahima Konate, secara perpindahan percuma dengan kontrak sehingga Jun 2030.
- Konate menyertai Real Madrid selepas gagal mencapai persetujuan lanjutan kontrak dengan Liverpool.
- Jose Mourinho membawa Konate sebagai antara perpindahan awal dalam pengendalian keduanya di kelab itu.
- Berpengalaman lima musim di Liverpool dengan 183 penampilan, membantu juarai Liga Perdana 2024-25 dan memenangi beberapa trofi.
Pemain berusia 27 tahun itu, yang kini bersama skuad Perancis di Piala Dunia, menyertai gergasi Sepanyol tersebut selepas gagal mencapai persetujuan lanjutan kontrak dengan Liverpool.
Konate menjadi antara pemain terawal yang dibawa masuk oleh pengurus baharu Real Madrid, Jose Mourinho, dalam tempoh keduanya mengendalikan kelab itu.
Sebelum ini, Real Madrid turut mendapatkan Bernardo Silva dan Marc Cucurella bagi memperkukuh skuad menjelang musim baharu.
Konate menghabiskan lima musim bersama Liverpool selepas berhijrah dari RB Leipzig pada 2021 dan sepanjang tempoh itu, beliau membuat 183 penampilan dan menjadi tonggak utama pasukan.
Beliau memainkan peranan penting membantu Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris musim 2024-25, selain membentuk gandingan pertahanan yang mantap bersama kapten pasukan, Virgil van Dijk.
Sepanjang bersama Liverpool, Konate turut membantu kelab itu memenangi dua trofi Piala Liga Inggeris dan satu Piala FA, selain turut beraksi dalam final Liga Juara-Juara Eropah 2022 sebelum Liverpool muncul naib juara kejohanan tersebut.
Kehadiran Konate dijangka memperkukuh benteng pertahanan Real Madrid ketika kelab itu berusaha kembali mencabar kejuaraan domestik dan Eropah musim depan. – REUTERS