Ketua Polis Daerah Tawau meninggal dunia

Ketua Polis Daerah Tawau, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Jasmin Hussin meninggal dunia pada usia 53 tahun.

TAWAU, 17 Jun — Ketua Polis Daerah Tawau, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Jasmin Hussin, 53, meninggal dunia di Hospital Tawau pada pukul 2.04 pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • PDRM menzahirkan dukacita atas kehilangan, mengiktiraf jasa Allahyarham sebagai pegawai yang banyak menabur bakti sepanjang perkhidmatan.
  • Ahli keluarga, anggota polis dan kenalan hadir memberi penghormatan; jenazah dimandikan, disembahyangkan di Masjid As-Salam dan dibawa ke kediaman keluarga.
  • Beliau berkhidmat lebih tiga dekad, memegang jawatan penting termasuk siasatan narkotik, pencegahan jenayah dan keselamatan komuniti serta menerima pelbagai anugerah penghargaan.

Berita duka pemergian Allahyarham dimaklumkan menerusi hantaran rasmi Polis Daerah Tawau di laman Facebook, pagi ini.

Dalam hantaran berkenaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang pegawai polis yang banyak menabur bakti sepanjang perkhidmatannya.

Sejak awal pagi, ahli keluarga, anggota polis dan kenalan rapat Allahyarham hadir di Jabatan Forensik Hospital Tawau sebelum berkumpul di Masjid As-Salam IPD Tawau bagi memberikan penghormatan terakhir.

Jenazah Allahyarham dibawa ke masjid As-Salam untuk dimandikan dan disembahyangkan sebelum dibawa ke kediaman keluarganya di Kampung Sungai Gading, Batu 17, Jalan Apas.

Jenazah dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 16, Jalan Apas selepas ketibaan ahli keluarga dari Kuala Lumpur.

Allahyarham dilahirkan di Tawau pada 26 Februari 1973 dan telah menabur bakti dalam pasukan PDRM selama lebih tiga dekad.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau menyandang pelbagai jawatan penting termasuk dalam bidang siasatan jenayah narkotik, pencegahan jenayah dan keselamatan komuniti.

Beliau dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Tawau pada 7 Mac 2022.

Sepanjang kerjayanya, Allahyarham menerima pelbagai anugerah dan penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi, komitmen serta kecemerlangannya dalam melaksanakan tugas.

Allahyarham meninggalkan isteri, Azmaroydah Che Azmi, serta enam orang anak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.