
KOTA BHARU, 15 Jun – Dua lelaki menjadi mangsa penculikan selepas dijadikan cagaran bagi hutang berkaitan sindiket dadah dan penyeludupan pendatang bernilai kira-kira RM33,000, yang dipercayai ditanggung ahli keluarga mereka.
- Polis melancarkan operasi bersama Bukit Aman dan pihak berkuasa Thailand; kedua mangsa ditemukan selamat di tepi jalan Mundok.
- Motif berkaitan hutang akibat aktiviti penyeludupan dadah dan pendatang; mangsa bukan penghutang tetapi dijadikan cagaran.
- Dua dalang utama dikenal pasti: Hamzah "Mejah" dan Mohamad Syamsul "Mamat", disyaki berada di Thailand dan kini diburu.
- Polis keluarkan status dikehendaki, minta kerjasama Thailand dan Interpol; lima individu ditahan reman termasuk seorang wanita.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kedua-dua mangsa berusia 51 dan 35 tahun itu, diculik dalam dua kejadian berasingan di Tumpat dan Pasir Mas pada 6 Jun, sebelum dibawa masuk ke Thailand melalui pangkalan haram.
Beliau berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada isteri seorang mangsa, sebelum melancarkan operasi mengesan dan menyelamat mangsa dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.
“Apabila kita menerima maklumat, kita terus melaksanakan operasi dan siasatan. Bagaimanapun, mangsa sempat dibawa masuk ke Thailand.
“Dengan bantuan pihak berkuasa Thailand, kedua-dua mangsa berjaya ditemukan dalam keadaan selamat dan ditinggalkan di tepi jalan di Mundok, Thailand sebelum diserahkan semula kepada PDRM,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bagi bulan Jun 2026, di sini, hari ini.
Mohd Yusoff berkata siasatan awal mendapati, motif penculikan berkait rapat dengan hutang melibatkan aktiviti penyeludupan dadah dan pendatang, namun individu yang diculik bukanlah pihak yang berhutang.
Sebaliknya, beliau berkata mangsa dipercayai dijadikan cagaran bagi memaksa individu yang mempunyai hutang dengan sindiket berkenaan menyelesaikan bayaran tertunggak.
“Yang berhutang itu bukan mangsa. Mereka diambil sebagai cagaran untuk memberi tekanan kepada pihak yang mempunyai hutang dengan sindiket berkenaan. Kita percaya hutang itu mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan dadah dan pendatang ke negara ini,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua mangsa mempunyai rekod berkaitan dadah, namun setakat ini polis belum dapat mengesahkan penglibatan mereka dalam kegiatan sindiket yang disiasat.
Mohd Yusoff berkata polis turut mengenal pasti dua individu yang dipercayai menjadi dalang utama kes berkenaan iaitu Hamzah Mohamed, yang dikenali dengan gelaran “Mejah” dan Mohamad Syamsul Azroy Che Anuar atau “Mamat”.
Beliau berkata kedua-dua suspek dipercayai masih berada di Thailand dan kini diburu pihak berkuasa.
“Polis telah mengeluarkan status orang dikehendaki terhadap Hamzah dan sedang mendapatkan bantuan pihak berkuasa Thailand serta Interpol, bagi mengesan kedua-dua suspek terbabit,” katanya.
Mohd Yusoff berkata siasatan turut mendapati Hamzah dipercayai mengarahkan Mohamad Syamsul membakar sebuah kereta Perodua Myvi yang digunakan dalam kejadian penculikan itu, bagi menghapuskan bukti.
“Kereta berkenaan dibakar di kawasan Gelam Mas, Pasir Mas selepas suspek menyedari polis sedang menjalankan operasi mengesan mereka,” katanya.
Mohd Yusoff berkata setakat ini, lima individu termasuk seorang wanita ditahan reman sehingga 22 Jun ini bagi membantu siasatan.
Beliau berkata wanita berkenaan dipercayai mempunyai hubungan dengan individu yang menjadi sasaran sindiket susulan hutang yang sedang disiasat.
“Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan penculikan dan polis sedang melengkapkan siasatan termasuk mengenal pasti rangkaian individu yang terlibat dalam kes berkenaan,” katanya.- BERNAMA