
KANGAR, 15 Jun – Seramai 123,000 isi rumah di Perlis menerima manfaat menerusi 255 Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) yang dilaksanakan di seluruh 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu sejak 9 Januari lalu, dengan nilai jualan melebihi RM6 juta.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis, Rohaida Hassan berkata, kekerapan penganjuran program itu bukan sahaja membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah, malah turut merancakkan aktiviti ekonomi peruncitan di kawasan setempat.
Beliau berkata sehingga 31 Mei 2026, sebanyak 255 PJRM telah dilaksanakan di seluruh negeri melibatkan pelbagai lokasi dan kaedah penganjuran.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 199 program dilaksanakan secara bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain, manakala 50 program diadakan di dalam premis termasuk Agrobazaar FAMA.
“Selain itu, empat program dilaksanakan di luar premis sempena penganjuran program berskala besar, manakala masing-masing satu program diadakan di institusi pengajian tinggi dan pasar,” katanya dalam satu kenyataan.
Rohaida berkata PJRM menawarkan barangan keperluan harian pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Tambahnya, kerajaan turut memperluas pelaksanaan program berkenaan sejak 9 Januari lalu dengan sasaran 30,000 penganjuran di seluruh negara tahun ini bagi membolehkan lebih ramai rakyat menikmati barangan keperluan pada harga berpatutan.