Sebarang MoU dengan AS bukan perjanjian muktamad – Iran

Bendera Amerika Syarikat dan Iran / foto ilustrasi Reuters

TEHRAN, 14 Jun – Iran menegaskan bahawa sebarang memorandum persefahaman (MoU) yang berpotensi dimeterai dengan Amerika Syarikat (AS) hanyalah kerangka untuk meneruskan rundingan dan tidak boleh dianggap sebagai perjanjian muktamad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rundingan menumpukan kepada usaha menamatkan konflik dengan segera berbanding isu program nuklear.
  • Pembebasan aset Iran yang dibekukan dianggap syarat penting dan tidak boleh dipisahkan daripada sebarang MoU dengan Washington.
  • Draf MoU 14 perkara mencadangkan gencatan operasi ketenteraan segera dan kekal, penamatan sekatan laut AS dan pembukaan semula Selat Hormuz.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, berkata rundingan yang sedang berlangsung lebih tertumpu kepada usaha menamatkan konflik dengan segera berbanding isu program nuklear.

Menurut laporan Agensi Berita Pelajar Iran (ISNA), Baghaei, turut menegaskan bahawa pembebasan aset Iran yang dibekukan merupakan syarat penting dan tidak boleh dipisahkan daripada sebarang MoU dengan Washington.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, Mahmoud Nabavian, menyifatkan draf MoU yang sedang dirundingkan sebagai satu kerangka umum yang masih boleh dipinda.

Menurut laporan Agensi Berita Mehr, draf MoU yang mengandungi 14 perkara itu antaranya mencadangkan gencatan operasi ketenteraan secara segera dan kekal di semua medan konflik termasuk di Lubnan, penamatan sekatan laut AS serta pembukaan semula Selat Hormuz.

Sejak beberapa minggu lalu, Iran dan AS dilaporkan bertukar beberapa cadangan damai menerusi pengantaraan Pakistan dalam usaha memuktamadkan satu persefahaman bagi menamatkan konflik. -Reuters

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.