
BERN, 14 Jun – Rakyat Switzerland mengundi pada Ahad dalam dua referendum penting yang boleh memberi kesan besar terhadap dasar imigresen dan perkhidmatan tentera negara itu.
- Cadangan SVP mengehadkan penduduk kepada maksimum 10 juta menjelang 2050 untuk mengurangkan kemasukan pendatang.
- Jika diluluskan, langkah itu dijangka menyekat kemasukan pendatang; warga asing kini mewakili lebih satu perempat penduduk.
- Kerajaan, Parlimen dan sektor perniagaan menentang kerana bimbang ia menjejaskan ekonomi serta hubungan dengan Kesatuan Eropah.
- Referendum berasingan mahu mengetatkan akses kepada khidmat awam sebagai alternatif tentera; kiri bimbang hak mereka yang menolak tentera terjejas.
Tumpuan utama terarah kepada cadangan Parti Rakyat Switzerland (SVP) untuk mengehadkan jumlah penduduk negara itu kepada maksimum 10 juta orang menjelang 2050.
Jika diluluskan, langkah itu dijangka menyekat kemasukan pendatang ke negara berpenduduk 9.1 juta orang itu, dengan warga asing kini merangkumi lebih satu perempat daripada jumlah penduduk.
SVP berpendapat kemasukan imigran yang tinggi menyumbang kepada masalah kekurangan perumahan, kenaikan kadar sewa serta kesesakan pengangkutan awam dan jalan raya.
Bagaimanapun, kerajaan, Parlimen dan sektor perniagaan menentang cadangan itu kerana bimbang ia boleh menjejaskan ekonomi serta hubungan Switzerland dengan Kesatuan Eropah (EU), rakan dagang utamanya.
Menteri Kehakiman Switzerland, Beat Jans, turut memberi amaran bahawa keputusan tersebut boleh membawa kesan seperti “Brexit versi Switzerland”.
“Taruhannya sangat tinggi,” katanya.
Dalam referendum berasingan, pengundi juga akan menentukan sama ada akses kepada khidmat awam sebagai alternatif kepada perkhidmatan tentera wajib perlu diperketatkan.
Kerajaan berpendapat peningkatan jumlah individu yang memilih khidmat awam berbanding tentera telah menjadi isu yang perlu ditangani.
Namun, pihak berhaluan kiri menegaskan langkah itu boleh menjejaskan hak mereka yang enggan menyertai perkhidmatan tentera atas alasan prinsip atau kepercayaan.
Tinjauan pendapat menunjukkan kedua-dua referendum itu dijangka menyaksikan persaingan sengit dengan keputusan yang sukar diramal. – AFP