
KUANTAN, 13 Jun – Sebuah lori tangki ISO yang membawa muatan 24,910 kilogram asid hidroklorik terbabas dan terbalik di kawasan Jambatan Cherating,di sini pagi tadi, menyebabkan kebocoran bahan kimia berbahaya itu.
- Anggaran tumpahan kurang daripada 1,000 liter kerana kebocoran pada penutup atas tangki.
- Bomba terima panggilan pada 7.32 pagi dan tiba sekitar 8.03 pagi dari Balai Gebeng.
- Pemandu cedera dan telah dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan sebelum ketibaan bomba.
- Pasukan Hazmat buat water curtain, hubungi JAS, alihkan bahan kimia ke lori gantian dan memantau kawasan.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang, Mohd Salahudin Isa dalam kenyataan memaklumkan, dianggarkan asid yang tumpah kurang daripada seribu liter kerana ia melibatkan kebocoran daripada penutup atas tangki.
“Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng telah menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.32 pagi dan sampai di lokasi kira-kira 8.03 pagi.
“Lori tersebut dalam perjalanan dari Pasir Gudang, Johor menuju ke Kemaman, Terengganu ketika kejadian berlaku,” menurut kenyataan itu.
Pemandu lori berkenaan, Muhammad Noor Azwan Abd Saman, 34, mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan sebelum ketibaan pasukan bomba.
Hasil pemeriksaan mendapati berlaku kebocoran pada bahagian tangki lori dan cecair asid telah mengalir ke kawasan paya bakau berhampiran.
Pasukan Hazmat bertindak membuat water curtain bagi mengurangkan penyebaran wap asid ke laluan utama jalan raya, selain menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak syarikat bagi tindakan lanjut mengendalikan serta mengalihkan bahan kimia berkenaan.
Kerja-kerja mengalih asid hidrolik daripada lori terbalik kepada lori gantian sedang dijalankan dan pihak bomba masih memantau kawasan tersebut.