
KUALA LUMPUR, 10 Jun– Kemudahan pembiayaan sehingga RM2 bilion disediakan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menyokong keperluan modal kerja serta pengembangan perniagaan.
- Alliance Bank dan CGC memeterai perjanjian jaminan portfolio untuk memperluas akses pembiayaan kepada PKS yang layak.
- Inisiatif membantu PKS yang berdepan kekangan cagaran dengan mengurangkan halangan dan menyediakan kecairan untuk inovasi dan pengembangan perniagaan.
- Struktur jaminan membolehkan pembiayaan disalurkan lebih cekap kepada PKS pada pelbagai peringkat untuk memperkukuh operasi dan merancakkan pertumbuhan.
- CGC menegaskan komitmen sokongan kepada PKS; Alliance Bank menyalurkan hampir RM3 bilion sejak 2018, memberi manfaat kepada lebih 5,000 PKS.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi perjanjian jaminan portfolio yang dimeterai antara Alliance Bank Malaysia Berhad dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).
Menurut Alliance Bank, kemudahan berkenaan turut membantu memperluas akses pembiayaan kepada PKS yang layak, termasuk syarikat yang berdepan kekangan cagaran.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Alliance Bank dalam menyokong PKS dengan memperluas saluran pembiayaan yang dapat membantu perniagaan merebut peluang pertumbuhan.
Pada masa sama membina kemampanan jangka panjang jangka panjang dalam suasana ketidaktentuan global semasa,” menurut kenyataan bank itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, keperluan cagaran sering menjadi cabaran kepada perniagaan yang berpotensi untuk berkembang.
“Menerusi jaminan portfolio ini, kami berusaha mengurangkan halangan tersebut bagi memastikan usahawan mempunyai kecairan yang diperlukan.
Ia bagi menyokong berinovasi, mengembangkan perniagaan dan menghadapi cabaran ekonomi dengan lebih yakin,” katanya.
Menurut Alliance Bank, struktur jaminan portfolio itu membolehkan pembiayaan disalurkan dengan lebih cekap kepada PKS pada pelbagai peringkat perniagaan.
Ia termasuk syarikat yang memerlukan sokongan kewangan bagi memperkukuh operasi dan merancakkan pertumbuhan.
Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohamed Nazri Omar berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen berterusan CGC dalam memperkukuh sokongan kepada PKS.
“Jaminan portfolio bernilai RM2 bilion ini akan membolehkan lebih banyak perniagaan memperoleh pembiayaan yang diperlukan untuk modal kerja.
Mereka juga boleh mengembangkan operasi, di samping meningkatkan daya tahan dalam persekitaran ekonomi yang sentiasa berubah,” katanya.
Sejak 2018, Alliance Bank telah menyalurkan hampir RM3 bilion menerusi pelbagai skim jaminan CGC yang memberi manfaat kepada lebih 5,000 PKS di seluruh negara.