
- MBPJ memperuntukkan tajaan RM75,000 bagi membantu Wai Ching menyertai kejohanan larian menara dan mengekalkan kedudukan atlet bertaraf dunia.
- Perjanjian menetapkan Wai Ching wajib memakai pakaian rasmi MBPJ ketika menyertai pertandingan dan menghadiri program media di dalam serta luar negara.
- Sepanjang tahun lalu beliau memenangi 32 gelaran di 14 negara, mengharumkan nama Malaysia dan Petaling Jaya di peringkat antarabangsa.
- Wai Ching menghargai sokongan MBPJ, berjanji sertai program komuniti serta akan berlepas ke Jepun untuk kejohanan di Tokyo Tower.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata, menerusi perjanjian yang berkuat kuasa sehingga 31 Disember ini, MBPJ memperuntukkan tajaan berjumlah RM75,000 bagi membantu Wai Ching menyertai kejohanan larian menara di seluruh dunia serta mengekalkan kedudukannya sebagai antara atlet terbaik dunia dalam sukan tersebut.
Menurut beliau, perjanjian berkenaan turut menetapkan beberapa tanggungjawab yang perlu dipenuhi Wai Ching, termasuk mengenakan pakaian rasmi MBPJ ketika menyertai pertandingan dan menghadiri program media di dalam serta luar negara.
“Ini tahun keempat MBPJ menaja Wai Ching dan namanya semakin harum di peringkat antarabangsa. Setiap kali beliau beraksi, logo dan bendera MBPJ turut dibawa bersama. Kami juga gembira melihat penyertaan dalam program latihan setiap Sabtu semakin meningkat, sekali gus menunjukkan sukan ini terus berkembang dan mendapat sambutan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan tersebut di ibu pejabat MBPJ.
Kerjasama berterusan itu menyaksikan MBPJ memainkan peranan penting dalam menyokong perjalanan karier Wai Ching sehingga muncul antara pelari menara paling berjaya di dunia.
Sepanjang tahun lalu, atlet kelahiran Petaling Jaya itu meraih 32 gelaran di 14 negara, sekali gus mengharumkan nama Malaysia dan bandar raya tersebut di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Wai Ching merakamkan penghargaan atas kepercayaan berterusan MBPJ dan berjanji akan terus menyumbang kepada program komuniti, khususnya melibatkan pelajar serta golongan muda.
“Terima kasih kepada Datuk Bandar dan MBPJ yang terus percaya kepada kemampuan saya. Sokongan yang diberikan, termasuk terhadap program latihan mingguan, amat bermakna dan membantu kami meneruskan usaha membangunkan sukan ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan akan berlepas ke Jepun dalam masa terdekat bagi menyertai kejohanan larian menara di Tokyo Tower.
Dalam pada itu, pemergian bapanya baru-baru ini mendorong Wai Ching mengimbau kembali perjalanan karier yang membawa beliau ke puncak dunia.
Beliau menyifatkan bapanya sebagai insan yang banyak mengajar nilai disiplin, integriti dan kepentingan menepati janji, yang menjadi pegangan sepanjang bergelar atlet.
“Ayah saya ialah idola saya. Sejak kecil beliau banyak membimbing saya serta mengajar nilai disiplin dan menepati janji. Saya belajar banyak perkara daripadanya dan akan terus berusaha memberikan yang terbaik dalam sukan ini,” katanya.