Isu pelarian diurus secara seimbang, utamakan keselamatan dan kemanusiaan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini. – Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 8 Jun – Isu pelarian di negara ini diurus secara seimbang dengan mengutamakan aspek keselamatan negara dan kemanusiaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan berasaskan emosi sahaja tidak menyelesaikan masalah pelarian yang berlarutan.
  • Pengurusan mesti bijaksana dan bertanggungjawab; keputusan perlu berdasarkan pertimbangan jelas.
  • Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap keselamatan negara; pengurusan pelarian mesti seimbangkan aspek keselamatan dan kemanusiaan.
  • Urusan pemberian identiti dijalankan secara telus menurut peraturan dan pematuhan undang-undang tidak akan dikompromi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pendekatan berasaskan emosi semata-mata tidak akan menyelesaikan isu tersebut yang telah berlarutan sekian lama.

Menurut beliau, pengurusan yang bijaksana dan bertanggungjawab diperlukan bagi memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan pertimbangan jelas.

“Sebagai kerajaan, kita tidak boleh mengurus secara emosi. Kita ada konteks kita dan perlu seimbangkan antara keselamatan serta kemanusiaan.

“Dalam menguruskan permasalahan ini, mesti ada pertimbangan jelas. Kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Saifuddin menafikan dakwaan kononnya kerajaan secara sewenang-wenangnya memberi identiti kepada pelarian yang berada di negara ini.

Beliau menegaskan sebarang urusan berkaitan identiti dijalankan secara telus mengikut peraturan ditetapkan dan pihaknya tidak akan berkompromi berhubung pematuhan terhadap undang-undang.

Kenyataan tersebut dibuat susulan perbincangan berterusan mengenai isu pelarian, termasuk petisyen yang menggesa pelarian etnik Rohingya dihantar pulang ke negara asal atau ditempatkan semula di negara ketiga.

Menurut laporan media sebelum ini, petisyen yang dilancar akaun Aku Anak Malaysia pada 29 Mei lalu itu telah meraih lebih 195,000 tanda tangan setakat Khamis dan menyasarkan sejuta sokongan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.