Bomba Tawau sentiasa waspada walau nasihat tsunami ditamatkan

Suasana semasa di Taman Traulsen lokasi riadah pesisir pantai terkenal di Tawau yang dipantau pihak bomba susulan amaran tsunami hari ini/Foto RTM Tawau

TAWAU, 8 Jun – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan amaran tsunami selepas gempa bumi kuat melanda Mindanao, Filipina awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anggota dan aset bomba digerakkan ke beberapa lokasi pesisir untuk pemantauan awal.
  • Pemeriksaan menunjukkan situasi normal setakat tengah hari dan tiada kerosakan atau insiden dilaporkan.
  • Orang ramai di pesisir dinasihatkan patuhi arahan pihak berkuasa dan hanya dapat maklumat melalui saluran rasmi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Madzlan Sarman berkata anggota serta aset telah digerakkan ke beberapa lokasi pesisir pantai bagi menjalankan pemantauan awal.

Beliau berkata setakat 12 tengah hari tadi, situasi di semua kawasan pemantauan termasuk di pesisir pantai sehingga kawasan Wakuba tidak menunjukkan sebarang tanda luar jangka.

Antara lokasi yang dipantau ialah Jalan Traulsen, kawasan lebuh raya, Taman Tawau dan Tinagat yang melibatkan kawasan penempatan penduduk berhampiran pantai.

“Sejak pemantauan kami dijalankan, situasi masih dalam keadaan normal walaupun pihak bomba sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Manakala di peringkat balai kita mempunyai bot penyelamat termasuk jaket keselamatan sebagai persediaan,” katanya ketika ditemui RTM semasa tinjauan di Persisiran Traulsen Tawau.

Madzlan berkata pemantauan bermula seawal pukul 8 pagi dan diteruskan sehingga amaran tsunami ditamatkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

Menurutnya, setakat ini tiada kerosakan atau insiden tidak diingini dilaporkan hasil pemeriksaan yang dijalankan.

Beliau berkata pihak bomba turut menerima maklumat berkaitan gegaran gempa bumi yang dirasai di beberapa kawasan sekitar Tawau dan terus memantau perkembangan semasa.

“Orang ramai khususnya yang tinggal berhampiran kawasan pesisir pantai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa selain mendapatkan maklumat hanya melalui saluran rasmi bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.