Skuad Iran dijangka tiba di Mexico pada Ahad di tengah pertikaian visa dengan AS

Foto AFP

ANTALYA, 7 Jun – Skuad Piala Dunia Iran dijangka tiba di Mexico pada Ahad ketika pertikaian visa dengan Amerika Syarikat (AS) terus membayangi persiapan pasukan itu menjelang sepak mula Piala Dunia 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • AS dilapor enggan keluarkan visa kepada beberapa petugas sokongan pasukan Iran, mencetuskan pertikaian menjelang Piala Dunia.
  • Iran menukar pangkalan dari Tucson, Arizona ke Tijuana, Mexico susulan ketegangan antara Tehran dan Washington.
  • Kedutaan Iran sifatkan tindakan AS sebagai diskriminasi dan menggesa FIFA bertindak; Persatuan bola sepak Iran dakwa campur tangan politik.
  • Pegawai AS berkata visa penting untuk atlet dan petugas telah dikeluarkan, tetapi keselamatan menghalang kemasukan individu dianggap ancaman.

Pertikaian tersebut tercetus selepas AS dilapor enggan mengeluarkan visa kepada beberapa petugas sokongan pasukan Iran, hanya beberapa hari sebelum kejohanan yang dianjurkan bersama AS, Mexico dan Kanada bermula.

Televisyen Iran melaporkan pasukan itu berlepas dari Turkiye pada Sabtu menuju ke Mexico selepas menjalani kem latihan hampir tiga minggu di Antalya.

Iran sebelum ini menukar pangkalan pasukan dari Tucson, Arizona ke Tijuana, bandar sempadan di barat laut Mexico, pada akhir Mei susulan ketegangan antara Tehran dan Washington.

Walaupun pemain Iran telah menerima visa AS, Kedutaan Iran di Turkiye membidas keputusan Washington selepas 15 petugas pentadbiran dan pengurusan pasukan dilapor tidak diberikan visa.

Kedutaan itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai layanan diskriminasi terhadap pasukan bola sepak kebangsaan Iran dan menggesa FIFA mengambil tindakan terhadap AS atas dakwaan pelanggaran peraturan kejohanan.

Persekutuan Bola Sepak Iran turut menyifatkan keputusan itu sebagai campur tangan politik dalam bentuk paling buruk.

Seorang pegawai pentadbiran AS bagaimanapun berkata visa yang diperlukan untuk membolehkan Iran bertanding dalam Piala Dunia, termasuk bagi atlet dan petugas sokongan penting, telah dikeluarkan.

Namun, pegawai itu menegaskan Washington tidak akan membenarkan sistem visa disalahguna untuk membawa masuk individu yang dianggap sebagai ancaman keselamatan.

Dalam perkembangan sama, Duta Iran ke Mexico, Abolfazl Pasandideh berkata pasukan itu dimaklumkan bahawa mereka perlu memasuki dan meninggalkan AS pada hari perlawanan.

Kenyataan itu dilihat bercanggah dengan penjelasan jurucakap pasukan Iran, Amir Mahdi Alavi, yang berkata visa pasukan kebangsaan adalah visa kemasukan berganda dan membolehkan mereka tiba di venue lebih awal sebelum perlawanan.

Peraturan FIFA menetapkan jurulatih pasukan perlu mengadakan sidang media di venue perlawanan sehari sebelum aksi berlangsung.

Iran berada dalam Kumpulan G dan dijadual menentang New Zealand serta Belgium di Los Angeles pada 15 dan 21 Jun, sebelum berdepan Mesir di Seattle pada 26 Jun. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.