Kerajaan persekutuan komited perkukuh pembangunan negeri Pahang

Menteri Kewangan ll, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (tengah) mengadakan sidang media selepas sesi lawatan ke Pasar Tani Kelana Jaya hari ini / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Kerajaan Persekutuan kekal komited memperkukuh pembangunan negeri Pahang menerusi peningkatan peruntukan tahunan, bantuan langsung kepada rakyat serta pelaksanaan projek strategik yang memberi manfaat kepada negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Kewangan II menghadap Sultan Pahang untuk memberi penjelasan mengenai peruntukan dan bantuan.
  • Kerajaan menyalurkan bantuan langsung kepada rakyat melalui Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah.
  • Projek strategik termasuk Laluan Rel Pantai Timur diharap siap penghujung tahun, merancakkan pelaburan serta pembangunan infrastruktur.
  • Tengku Mahkota Pahang membangkitkan isu peruntukan negeri ketika mesyuarat DUN, mencetus arahan penjelasan oleh kerajaan pusat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata komitmen tersebut telah dipersembah kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam sesi menghadap minggu lalu.

Menurut beliau, pertemuan itu memberi penjelasan mengenai peningkatan peruntukan kerajaan pusat kepada negeri Pahang yang terus bertambah setiap tahun selain pelaksanaan pelbagai projek pembangunan yang menjadi keutamaan kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan turut menyalurkan bantuan secara langsung kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Tuanku dapat melihat komitmen kerajaan Persekutuan untuk membantu negeri Pahang. Ada beberapa perkara yang dibangkitkan oleh Tuanku dan kita akan teliti ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan.

“Yang penting ialah komitmen kepada negeri itu jelas dan kukuh. Peruntukan yang disalurkan juga meningkat setiap tahun, bukan sahaja kepada kerajaan negeri tetapi turut disampaikan terus kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mikro Kredit Turun Padang di sini, hari ini.

Menurut Datuk Seri Amir Hamzah lagi, komitmen kerajaan turut dibuktikan melalui pelaksanaan projek strategik di Pantai Timur termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Beliau berkata projek berimpak tinggi itu dijangka menjadi pemangkin kepada kemasukan pelaburan baharu serta merancakkan pembangunan infrastruktur dan kawasan perindustrian di negeri berkenaan.

Pada 8 Mei lalu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah membangkitkan isu peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri Pahang ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15.

Susulan itu, Perdana Menteri mengarahkan Datuk Seri Amir Hamzah menyediakan penjelasan menyeluruh berhubung peruntukan dan bantuan yang disalurkan kepada negeri tersebut untuk dipersembahkan kepada Sultan Pahang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.