
KUALA LUMPUR, 25 November – Kementerian Pendidikan (KPM) mencadangkan pendidikan kesihatan mental diterapkan dalam silibus sekolah bagi membantu pelajar mengurus tekanan dengan lebih baik.
- Pendidikan kesihatan mental dicadang diterapkan dalam subjek sedia ada bagi membantu pelajar mengurus tekanan.
- Penambahan kaunselor terlatih di sekolah perlu dipertingkat untuk menangani kes kesihatan mental yang lebih serius.
- Tekanan keluarga, desakan akademik, penganiayaan dan penderaan di sekolah antara faktor masalah pelajar, termasuk buli.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersetuju dengan cadangan tersebut yang boleh diterapkan menerusi kaedah pengajaran dalam subjek sedia ada.
“Sekurang-kurangnya dalam salah satu subjek itu dimasukkan pendidikan kesihatan mental. Jangan guna kaedah yang teruk dan terang-terang sangat, anak-anak tidak suka.
“Perlu kaedah pengolahan yang melalui pengajaran. Sepatutnya dari segi agama dan moral itu patut paling penting tetapi sebab itu dalam kurikulum Islam ini pun patut diberi kesan. Semua anak-anak sekarang belajar Islam, semua berjemaah tetapi penghayatannya itu tidak jadi saya setuju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program khas Dialog Negara yang disiarkan menerusi saluran TV1 dan aplikasi RTMKlik malam ini.
Datuk Seri Anwar berkata, penambahan kaunselor terlatih di sekolah perlu dipertingkat bagi menangani kes kesihatan mental yang lebih serius, namun pelaksanaannya mungkin mengambil masa berikutan memerlukan peruntukan besar.
“Kalau perlu kita terpaksalah tetapi mengambil masa. Buat sementara ini harus ditimbulkan kesedaran. Penyelesaian kita ini very compartmentalized. Kita timbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
“Ibu bapa ada tanggungjawab sendiri. Guru juga ada tanggungjawab dan perlu menjalankan tanggungjawab itu dengan baik. Kalau kita pikul amanah ini dengan sebaik mungkin, seikhlas mungkin, sebahagiannya dapat tangani,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan pembentangan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, tekanan keluarga dan desakan akademik, selain penganiayaan dan penderaan di sekolah antara faktor yang menyumbang kepada masalah pelajar, termasuk kes buli.
“Jadi kalau kita cari penyelesaian ini kita boleh dengar cadangan dari KPM, Kementerian Kesihatan, dan badan-badan badan bukan kerajaan (NGO) ini. Maknanya mesti timbul kesedaran lebih meluas dan di rumah bagi saya penting.
“Kena ada asas bahawa mesti ada tanggungjawab ibu bapa dan keluarga itu. Sibuk bagaimanapun tidak boleh lari daripada tanggungjawab menjaga, mendidik, memberi masa dan ruang, menunjukkan rasa kasih sayang,” katanya.
Terdahulu, program wacana itu turut disiarkan secara serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.
Bertemakan “Di Sebalik Keputusan”, program itu membuka ruang perbincangan secara lebih mendalam mengenai pertimbangan, cabaran dan rasional di sebalik keputusan penting yang dibuat kerajaan dalam usaha memperkukuh pembangunan negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.