MyGOV catat 2.2 juta pengguna, bakal tawar strim Piala Dunia 2026

Menteri Digital, Gobind Singh Deo/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Aplikasi MyGOV yang diperkenalkan sejak Ogos 2025 telah merekodkan lebih 2.2 juta pengguna sekali gus memperkukuh usaha kerajaan memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan digital yang lebih mudah, pantas dan bersepadu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gabungkan 51 perkhidmatan dari 19 agensi dalam satu aplikasi tunggal.
  • Bakal tawarkan penstriman langsung perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 khusus untuk pengguna berdaftar MyDigital ID.
  • Selaras RTEDM, MyGOV diperkasa untuk integrasi platform, percepat transformasi digital dan sokong aspirasi Malaysia sebagai negara AI terkemuka menjelang 2030.

Dibangunkan oleh GovTech Malaysia di bawah Kementerian Digital, aplikasi itu kini menggabungkan 51 perkhidmatan daripada 19 agensi kerajaan dalam satu aplikasi tunggal yang menyatukan pelbagai aplikasi antaranya MySejahtera, MyJPJ, Semakan Harga Barangan Terpilih (PriceCatcher), Portal Manfaat dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, MyGOV akan terus diperkasa secara berperingkat bagi memastikan integrasi sistem dilaksanakan secara mampan, selaras dengan keperluan pengguna dan tahap kesiapsiagaan infrastruktur semasa.

“Hala tuju jangka panjangnya adalah untuk memperluas ekosistem perkhidmatan secara berfasa, bagi memastikan integrasi dilaksanakan secara mampan dan selaras dengan keperluan pengguna serta kesediaan sistem. Ini termasuk usaha mempertingkatkan akses kepada maklumat berkaitan perkhidmatan dan manfaat kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam perkembangan sama, aplikasi itu bakal menawarkan kemudahan penstriman langsung perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 khusus kepada pengguna berdaftar MyDigital ID, sebagai nilai tambah kepada platform digital sedia ada.

Tambah beliau, MyGOV akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan platform itu kekal relevan, stabil dan mampu memenuhi keperluan pengguna yang semakin berkembang.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar berkata, pembangunan infrastruktur digital yang saling berhubung menjadi asas penting dalam usaha mempercepat transformasi digital negara dan menyokong aspirasi Malaysia sebagai Negara AI terkemuka menjelang 2030.

“Integrasi pelbagai platform kerajaan menerusi MyGOV membantu mewujudkan ekosistem data yang lebih tersusun dan saling beroperasi, sekali gus membuka ruang kepada pelaksanaan teknologi kecerdasan buatan yang lebih meluas pada masa hadapan,” katanya.

Selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM), MyGOV akan terus diperkasa sebagai platform utama penyampaian perkhidmatan kerajaan digital yang mengutamakan kemudahan rakyat, memfokuskan kecekapan penyampaian serta inovasi berterusan seterusnya menghapuskan birokarasi dalam pentadbiran kerajaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.