PDRM jamin keselamatan, ketenteraman di N. Sembilan

Foto hiasan

SEREMBAN, 5 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan keselamatan dan ketenteraman awam di Negeri Sembilan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua Polis Daerah mengatur penugasan anggota dan pegawai untuk kawalan keselamatan serta pemantauan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran situasi.
  • Tindakan dijalankan selaras Seksyen 21 Akta Polis 1967 untuk memelihara keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam serta mencegah perlakuan menyalahi undang-undang.
  • PDRM menghormati proses perundangan, menasihati orang ramai bertenang, mematuhi undang-undang dan tidak mengganggu ketenteraman atau proses sedang berjalan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Datuk Alzafny Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara itu susulan insiden yang berlaku di kawasan Balai Rasmi Tampin pagi tadi.

“Ketua Polis Daerah Tampin telah mengatur penugasan anggota dan pegawai polis bagi melaksanakan kawalan keselamatan serta pemantauan keadaan di lokasi berkenaan. Langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan orang ramai, kelancaran situasi serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

“Tindakan yang dilaksanakan adalah selaras dengan fungsi dan tanggungjawab PDRM bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967 untuk memelihara keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam serta mencegah sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, pada hari sama PDRM turut menerima satu salinan perintah mahkamah berkaitan dengan perkara berkenaan dan menghormati proses perundangan.

“Kehadiran polis di lokasi terbabit adalah semata-mata bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan pematuhan kepada undang-undang tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

“Orang ramai turut dinasihatkan supaya bertenang, mematuhi undang-undang serta tidak terlibat dalam sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau mengganggu proses yang sedang berlangsung,” tambah kenyataan itu.

PDRM akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.