SKP perkenal standard baharu perkukuh industri kredit pengguna

Foto laman web Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP)

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) menerbitkan Standard Pelesenan dan Pendaftaran serta Standard Pelakuan sebagai persediaan pelaksanaan Akta Kredit Pengguna 2025 (AKP).

RINGKASAN BERITA AI
  • Standard menetapkan keperluan pelesenan, pendaftaran dan pelakuan bagi enam aktiviti perniagaan di bawah Fasa 1.
  • Memperkukuh amalan beretika, adil dan profesional dalam kalangan penyedia kredit bukan bank serta penyedia perkhidmatan kredit.
  • Sesi libat urus wilayah dan negeri akan diteruskan untuk memantau persediaan syarikat menjelang pelaksanaan penuh keperluan pelesenan.

Kedua-dua standard tersebut terpakai kepada enam aktiviti perniagaan utama di bawah Fasa 1 pelaksanaan AKP, khususnya dalam menetapkan keperluan pelesenan, pendaftaran dan tanggungjawab pelakuan industri.

Menurut SKP, langkah itu bertujuan memperkukuh amalan beretika dalam kalangan penyedia kredit bukan bank dan penyedia perkhidmatan kredit.

“Standard Pelesenan dan Pendaftaran memperincikan keperluan serta proses pelesenan dan pendaftaran entiti yang dikawal selia, manakala Standard Pelakuan menetapkan set peraturan bagi memastikan amalan yang adil, bertanggungjawab dan profesional dalam industri kredit pengguna,” jelas SKP dalam satu kenyataan.

Di bawah Fasa 1 pelaksanaan AKP, enam aktiviti perniagaan yang akan dikawal selia ialah skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL), pemfaktoran, pajakan, kutipan hutang, pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas serta kaunseling dan pengurusan hutang.

Aktiviti berkenaan sebelum ini beroperasi tanpa pengawalseliaan khusus oleh mana-mana pihak berkuasa.

Penerbitan kedua-dua standard itu susulan sesi taklimat industri yang dianjurkan SKP pada 18 dan 19 Mei lalu yang dihadiri lebih 400 pemain industri.

Pengerusi Eksekutif SKP, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, penerbitan standard tersebut merupakan lasas penting dalam pelaksanaan Akta Kredit Pengguna 2025 kerana ia menetapkan syarat yang jelas berkaitan kelayakan operasi serta amalan pelakuan industri.

“Sebagai pihak berkuasa berwibawa, SKP komited memastikan amalan industri selaras dengan mandat untuk melindungi kepentingan pengguna, di samping menyokong pembangunan industri yang mampan,” katanya.

Beliau berkata, SKP akan meneruskan sesi libat urus di peringkat wilayah dan negeri bagi memantau tahap persediaan syarikat menjelang pelaksanaan penuh keperluan pelesenan dan pendaftaran yang dijadual berakhir pada hujung tahun ini.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.