
KAPIT, 29 Oktober – Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemukan tertanam di dalam tanah di sebuah rumah sewa di Jalan Airport, Kapit, pada malam Selasa.
- Siasatan bermula selepas seorang wanita mengalami pendarahan teruk dan mendapatkan rawatan di Hospital Kapit.
- Wanita itu awalnya tidak mengaku melahirkan; pegawai perubatan mengesyaki dan menghubungi polis untuk siasatan lanjut.
- Pemeriksaan di rumah sewa membawa kepada penemuan bayi yang ditanam pada kedalaman cetek; bayi dilaporkan dalam keadaan kritikal.
- Polis mengenal pasti seorang suspek yang masih menerima rawatan; kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Kapit, DSP Rohana Nanu berkata, penemuan itu dibuat antara pukul 9 malam hingga 10 malam, 27 Oktober lalu, susulan siasatan berhubung seorang wanita yang mengalami pendarahan teruk sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kapit.
Menurutnya, ibu kepada wanita berkenaan mendapatkan bantuan daripada ibu saudara suspek untuk menghubungi ambulans bagi membawa wanita itu ke hospital.
Wanita terbabit pada awalnya tidak mengakui telah melahirkan anak, sebelum pegawai perubatan yang mengesyaki sesuatu tidak kena menghubungi polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Hasil pemeriksaan di rumah sewa berkenaan membawa kepada penemuan bayi itu yang ditanam pada kedalaman cetek.
Bayi berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal sebelum dipindahkan ke Hospital Sibu pada pagi Rabu untuk menerima rawatan lanjut.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 2.30 petang pada Selasa.
Rohana berkata, polis telah mengenal pasti seorang suspek, namun individu berkenaan masih menerima rawatan di hospital. Maklumat lanjut mengenai kes itu belum dapat didedahkan setakat ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, berkaitan perbuatan meninggalkan atau membuang kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun oleh ibu bapa atau individu yang bertanggungjawab menjaganya.