
LUMUT, 29 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua vesel nelayan tempatan yang disyaki melanggar syarat sah lesen di perairan Segari, Perak, pagi tadi.
- Empat warga Myanmar, dua tekong dan dua kru berusia 35 hingga 43 tahun, ditahan oleh Maritim Malaysia.
- Vesel disyaki beroperasi kurang lima batu nautika dari pantai, tidak diusahakan oleh pemilik dan menggunakan kru asing tanpa kebenaran.
- Seramai 31 set bubu naga dirampas kira-kira empat batu nautika barat daya Pulau Talang; pemilik boleh disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.
Empat warga Myanmar terdiri daripada dua tekong dan dua kru berusia antara 35 hingga 43 tahun turut ditahan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Zainudin Mohd Zuki berkata, kedua-dua vesel dikesan kira-kira 0.5 batu nautika dari pantai sebelum ditahan pada pukul 3.20 dan 3.40 pagi.
“Vesel berkenaan disyaki beroperasi kurang 5 batu nautika dari pantai, tidak diusahakan sendiri oleh pemilik serta menggunakan kru asing tanpa kebenaran.
“Kes turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 selepas semua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala vesel, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan dirampas,” jelasnya.
Dalam kejadian berasingan, 31 set bubu naga atau bubu kambang dirampas kira-kira 4 batu nautika barat daya Pulau Talang, Selasa lalu.
Bubu itu ditemukan selepas anggota mengesan beberapa bendera dan pelampung mencurigakan di permukaan air, manakala pemiliknya boleh disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.