
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) terus memperkasa pendidikan golongan rentan dengan memastikan setiap murid mendapat akses pendidikan terbaik, sekali gus membantu memutuskan kitaran kemiskinan dan meningkatkan taraf kehidupan mereka.
- Pendekatan SBJK selari Rancangan Pendidikan Malaysia 2026 hingga 2035: pembangunan murid holistik, dwibahasa, kompetensi digital, sahsiah dan bakat.
- SBJK beroperasi sejak 2013 dengan 158 murid prasekolah hingga menengah dan 16 guru.
- Kelulusan SPM 100% empat tahun berturut-turut sejak 2022; kesemua 10 calon 2025 lulus, menunjukkan peningkatan konsisten.
- Program ZAMRUD dan MEKAR Didik bantu 61 murid dapat dokumen pengenalan; terima bantuan sekolah, zakat, takaful, makanan dan pengecualian kos kesihatan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Wan Hashim Wan Rahim menjelaskan, pendekatan yang dilaksanakan SBJK membuktikan setiap murid mampu berjaya sekiranya diberikan peluang pendidikan sempurna tanpa mengira latar belakang kehidupan.
“Kecemerlangan SBJK selari dengan Teras Strategik 2 Rancangan Pendidikan Malaysia 2026 hingga 2035 yang memberi fokus kepada pembangunan murid secara holistik termasuk penguasaan dwibahasa, kompetensi digital, sahsiah serta pembangunan bakat.
“Aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia turut menekankan nilai kemanusiaan, empati dan jati diri bagi melahirkan generasi cemerlang, kreatif serta mampu menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sembah taklimat sempena keberangkatan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke SBJK bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Tahun ini.
SBJK yang mula beroperasi sejak 2013 kini mempunyai 158 murid daripada peringkat prasekolah hingga sekolah menengah dengan dibimbing 16 guru.
Sekolah itu turut mencatat pencapaian membanggakan apabila merekodkan kelulusan 100 peratus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tempoh empat tahun berturut-turut sejak 2022.
Pada tahun 2025, kesemua 10 calon SPM sekolah berkenaan lulus sepenuhnya selain mencatat peningkatan konsisten pencapaian sejak 2014.
SBJK turut mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa apabila memenangi pingat perak dan gangsa dalam Pertandingan Robotik ke-11 Robot Nusantara 2025 di Indonesia.
Selain itu, sekolah berkenaan turut meraih tempat keempat dalam Pertandingan Robotik Karnival Orang Asli dan Peribumi Peringkat Kebangsaan 2025.
Dalam pada itu, KPM memaklumkan pelaksanaan Program Zero Murid Tanpa Dokumen (ZAMRUD) dan Program MEKAR Didik berjaya membantu seramai 61 murid mendapatkan dokumen pengenalan diri.
“Hasil pelaksanaan program tersebut, seramai 61 orang murid telah berjaya menerima dokumen pengenalan diri.
“Penerimaan dokumen ini bukan sahaja mengiktiraf identiti murid SBJK, malah memberi peluang kepada mereka untuk menikmati masa hadapan yang lebih terjamin dan sejahtera,” jelasnya.
Menurut KPM, murid SBJK turut menerima pelbagai bantuan termasuk Bantuan Awal Persekolahan, bantuan zakat, perlindungan takaful, bantuan makanan bermasak serta pengecualian caj rawatan kesihatan dan pergigian.