
NAGOYA, 3 Jun– Temasya Sukan Asia di Jepun tahun ini bakal menyaksikan revolusi digital dalam arena mempertahankan diri selepas pihak penganjur secara rasmi meluluskan kemasukan acara taekwondo maya (virtual taekwondo) yang menggunakan teknologi realiti maya (VR).
- Taekwondo maya adalah sukan tanpa sentuhan fizikal; atlet pakai alatan khas dan melepaskan tendangan kepada lawan digital.
- Pengenalan taekwondo maya diiktiraf World Taekwondo dengan penggunaan penjejakan gerakan, meningkatkan jumlah sukan ke 43.
- Sukan baharu lain termasuk padel dan teqball, manakala acara e-sukan disenaraikan semula selepas impak besar di Hangzhou.
Sukan tanpa sentuhan fizikal itu memerlukan para atlet memasang alatan khas pada badan mereka dan melepaskan tendangan ke arah lawan digital dalam persekitaran siber.
Pihak pembangun teknologi menyifatkan inovasi berkenaan sebagai “permainan tempur maya yang melangkaui batasan fizikal” sekali gus membuka lembaran baharu dalam evolusi sukan mempertahankan diri dunia.
Temasya Sukan Asia edisi ke-20 itu dijadualkan berlangsung di Nagoya dan wilayah Aichi bermula 19 September hingga 4 Oktober depan.
Pihak penganjur memaklumkan bahawa pengenalan taekwondo maya itu menjadikan jumlah keseluruhan sukan yang bakal dipertandingkan dalam temasya berprestij tinggi tersebut meningkat kepada 43 sukan.
Acara moden itu mendapat pengiktirafan rasmi daripada badan induk dunia, World Taekwondo, dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi penjejakan gerakan (motion-tracking).
Selain taekwondo maya, beberapa sukan baharu yang semakin popular turut diperkenalkan pada Sukan Asia tahun ini termasuk sukan raket padel serta teqball iaitu sukan unik yang menggabungkan elemen bola sepak dan pingpong.
Dalam pada itu, acara e-sukan turut disenaraikan semula buat kali kedua berturut-turut selepas mencetuskan impak luar biasa pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou sebelum ini.
Ketika Sukan Asia Hangzhou, arena futuristik berkapasiti 4,500 tempat duduk sentiasa dipenuhi peminat tegar yang hadir bagi menyaksikan aksi bintang e-sukan dunia termasuk jaguh Korea Selatan, Lee “Faker” Sang-hyeok. – AFP