
SAUDARA PENGARANG
- Vap mengandungi bahan kimia dan perisa sintetik berbahaya yang boleh menyebabkan kanser dan merosakkan paru-paru.
- Cecair yang diisytihar 0 mg nikotin sering mengandungi nikotin berbahaya; nikotin menyebabkan ketagihan dan pelbagai penyakit.
- Pod tidak terkawal boleh tercemar logam berat, ubat bius atau dadah sintetik, membahayakan kesihatan fizikal dan mental remaja.
- Ibu bapa mesti berwaspada, berbincang dengan anak, dan bawa mereka ke klinik kaunseling jika terjebak untuk bantu berhenti.
Vap (vape) kini bukan lagi sekadar “wap air” seperti yang digembar-gemburkan oleh industri vap, tetapi ia telah menjadi lebih kreatif dan canggih. Semakin banyak laporan di dada akhbar atau di skrin media sosial anda, menunjukkan kanak-kanak, remaja dan anak muda ketagihan vap sehingga menjadi seperti “zombie”.
Di mana silap kita, sehingga kita benarkan anak muda, remaja, kanak-kanak Malaysia menjadi mangsa dadah dan vap ini? Siapakah yang patut dipersalahkan? Adakah diri mereka sendiri? Industri vap? Ibu-bapa? Ahli politik? Atau masyarakat umum?
Kajian saintifik membuktikan mereka yang mengevap mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk menjadi perokok, dan menjadi perokok berganda, iaitu menggunakan rokok dan vap. Pepatah Inggeris berkata “it takes a village to raise a child”; untuk mendidik seorang anak, sekampung perlu bekerjasama.
Vap mempunyai banyak bahan kimia yang berbahaya. Kanak-kanak dan remaja selalu berkata mereka tertarik dan ketagih untuk vap kerana perisa vap yang menarik.
Betul, tidak dinafikan, itulah taktik industri vap untuk membentuk komuniti vap yang baru, dengan menjual vap dalam pelbagai perisa, bentuk dan strategi pemasaran yang terkini untuk generasi muda, malahan menggunakan ramai selebriti dan pempengaruh untuk mempromosi dan menjual produk vap.
Perisa sintetik dan pewarna sintetik (sintetik bermakna tiruan) yang terdapat dalam vap adalah bahan kimia yang berbahaya dan tidak selamat untuk dihisap masuk dalam paru-paru. Ada bahan kimia seperti vanillin dan pewarna contohnya; hijau, kuning atau merah yang boleh menyebabkan kanser.
Bahan utama yang terkandung dalam cecair vap adalah nikotin. Inilah bahan utama yang menjadikan seseorang ketagihan vap. Kesan nikotin ini terbahagi kepada kesan serta-merta dan berpanjangan.
Nikotin boleh menyebabkan sakit kepala, degupan jantung menjadi laju, tekanan darah tinggi, strok, merosakkan sel-sel darah, pelbagai jenis kanser, masalah paru-paru serta menyebabkan tulang rapuh, dan banyak lagi.
Jika ada cecair vap yang dijual mempamerkan sebagai “nikotin 0 mg”, usahlah percaya 100%, kerana bukti saintifik membuktikan cecair vap yang diisytihar oleh penjual sebagai tiada nikotin, 90% daripadanya mengandungi nikotin, dan dalam jumlah yang berbahaya.
Bayangkan seorang remaja berumur 15 tahun dibawa oleh ibu bapanya ke jabatan kecemasan. Umurnya masih muda, sepatutnya sihat, aktif dan penuh masa depan.
Namun malam itu dia kelihatan sangat lemah, tercungap-cungap, batuk berpanjangan, sakit dada dan bacaan oksigennya rendah. Pada awalnya keluarga menyangka ia mungkin jangkitan paru-paru biasa.
Tetapi selepas diperiksa, satu perkara mula terbongkar: dia sudah lama menggunakan vap, hampir setiap hari, dengan pelbagai perisa dan pod yang dibeli tanpa benar-benar mengetahui kandungannya.
Inilah antara wajah bahaya vap yang semakin membimbangkan; EVALI, atau e-cigarette or vaping product use-associated lung injury. Dalam bahasa mudah, ia bermaksud kecederaan paru-paru akibat penggunaan vap.
Keadaannya boleh menyerupai pneumonia atau jangkitan paru-paru yang teruk: sesak nafas, batuk, sakit dada, demam, muntah, cirit-birit dan badan menjadi sangat lemah.
Dalam kes yang serius, pesakit memerlukan oksigen yang tinggi, rawatan rapi, dan ada yang perlu dimasukkan ke ICU. EVALI diklasifikasikan sebagai kecederaan paru-paru berkaitan vap, dengan gejala yang boleh melibatkan sistem pernafasan dan juga sistem pencernaan.
Lebih merisaukan, vap hari ini bukan sekadar nikotin dan perisa. Ada cecair vap dan pod yang tidak terkawal boleh mengandungi bahan lain yang jauh lebih berbahaya. Antara yang dibimbangi ialah logam berat seperti plumbum, nikel, kromium dan logam lain yang boleh masuk ke dalam paru-paru melalui wap yang disedut.
Paru-paru kita dicipta untuk menghirup udara bersih, bukan bahan kimia, pewarna, pelarut dan partikel logam halus yang akhirnya boleh mencetuskan keradangan, kerosakan saluran pernafasan dan memberi kesan kepada organ lain dalam badan.
Kajian terkini juga terus menimbulkan kebimbangan tentang pendedahan logam berat daripada produk vap, khususnya produk yang tidak terkawal.
Kini muncul pula istilah seperti “piu-piu”, “K-pod”, “zombie vap” atau vap yang dicampur bahan ubat dan dadah. Salah satu bahan yang dilaporkan di rantau ini ialah etomidate, sejenis ubat bius yang sepatutnya hanya digunakan dalam persekitaran perubatan dengan pemantauan rapi.
Apabila bahan seperti ini disalahgunakan melalui vap, kesannya boleh menjadi sangat berbahaya: seseorang boleh pengsan, hilang kawalan pergerakan, keliru, sawan, mengalami masalah pernafasan, tekanan darah tidak stabil, malah berisiko mencederakan diri atau orang lain kerana tidak sedar sepenuhnya dengan keadaan sekeliling.
Pihak berkuasa kesihatan di negara jiran pernah melaporkan peningkatan rampasan vap mengandungi etomidate dan memberi amaran bahawa bahan ini boleh menyebabkan kesan serius termasuk sawan, kekejangan otot, perubahan pernafasan dan tekanan darah, serta gangguan mental.
Selain etomidate, ada juga kebimbangan bahawa vap boleh menjadi “kenderaan tersembunyi” untuk bahan lain seperti kanabinoid sintetik dan bahan perangsang seperti kokain.
Inilah bahaya paling besar kepada anak muda: mereka mungkin menyangka mereka hanya mencuba vap berperisa, tetapi sebenarnya tubuh mereka sedang didedahkan kepada bahan yang tidak diketahui dos, kesan dan risikonya.
Ada yang datang ke jabatan kecemasan dengan dada berdebar, panik melampau, halusinasi, sawan, muntah, sesak nafas atau perubahan tingkah laku yang menakutkan keluarga. Produk sebegini tidak boleh dinilai dengan mata kasar; bentuknya mungkin sama seperti vap biasa, tetapi kandungannya boleh membawa padah.
Bahan seperti etomidate, ketamin, kanabinoid sintetik dan perangsang telah disebut oleh sumber kesihatan awam sebagai antara bahan berbahaya yang boleh mencemari pod vap.
Seorang pesakit telah dibawa ke jabatan perubatan kecemasan yang mana dia meracau dan tidak boleh mengawal diri, hinggakan tiub kencing yang dipasang doktor dicabutnya, mengakibatkan kecederaan salur kencing dan berdarah air kencing.
Ini gara-gara vap yang disyaki bercampur dadah halusinogen iaitu mushroom. Berapa banyak lagi mangsa akibat kesan vap perlu datang ke jabatan perubatan kecemasan hingga kita betul-betul bertindak.
Dapatan daripada program Henti, Elak, Basmi Asap Tembakau (HEBAT) dari Kumpulan Penyelidikan dan Kolaborasi Ketagihan Nikotin (NARCC), Universiti Malaya mendapati kanak-kanak dan remaja mula berjinak dengan vap seawal umur 9 ke 10 tahun, dan segelintir daripada mereka mengambil lebih daripada 20 “puff” sehari.
Bayangkan betapa banyaknya bahan kimia yang telah meracuni badan mereka sekecil itu, dan berapa banyak kerosakan sel dan organ yang telah berlaku yang mata kasar tidak mampu nampak. Malahan, vap juga telah terbukti menyebabkan kesihatan mental terjejas dan mengganggu fungsi otak.
Pembelajaran dan kemampuan bersukan sangat terjejas sehinggakan ada pelajar sekolah rendah dan menengah yang digantung atau dibuang sekolah akibat ditangkap membawa atau mengevap dalam kawasan sekolah berulang kali. Ini membuktikan kesan vap adalah terlalu negatif, dan tiada langsung kebaikan.
Mereka yang mengevap juga terjebak dengan masalah sosial dan menjejaskan selera makan, yang menyebabkan pertumbuhan badan yang tidak sihat. Kanak-kanak dan remaja yang mengevap juga didapati menggunakan wang saku mereka untuk membeli cecair vap, bukan membeli makanan di kantin sekolah seperti yang diamanahkan oleh ibu atau bapa mereka.
Dalam umur yang muda ini, mereka perlu diajar berjimat-cermat, bukan membazir duit membuat perkara yang sangat memudaratkan kesihatan dan masa hadapan mereka.
Janganlah kerana kejahilan kita dalam isu rokok dan vap, masa depan mereka tergadai. Kerana vap, rokok dan dadah, binasalah masa depan anak-anak dan masyarakat Malaysia.
Ibu, bapa dan penjaga perlu lebih berwaspada dan sentiasa berbincang dengan anak-anak berkenaan aktiviti mereka, dan jangan takut untuk berbincang tentang vap atau rokok.
Anak-anak akan mencontohi perkara yang baik dilakukan ibu bapa mereka, dan jika ibu bapa merokok atau mengevap, mereka juga mempunyai potensi untuk membuat tabiat yang sama.
Jika anda mendapati anak-anak telah terjebak dengan tabiat yang negatif ini, kasihanilah mereka dan bantulah mereka untuk berhenti merokok atau mengevap dengan membawa mereka ke klinik kesihatan yang menawarkan khidmat rawatan dan kaunseling berhenti merokok dan vap.
Jika bukan ibu bapa atau penjaga yang membantu mereka, siapa lagi yang akan membantu mereka.
Anak-anak yang sihat serta aktif, bebas daripada tabiat rokok, vap dan dadah, adalah aset negara yang perlu dijaga dengan sebaiknya. Kesihatan yang baik bermula daripada rumah, marilah kita bersama-sama menjaga anak-anak kita agar terhindar daripada semua perkara yang tidak bermanfaat dan merosakkan diri.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Prof Madya Dr Nur Amani Ahmad Tajuddin
Fakulti Perubatan
Universiti Malaya

Dr Mohd. Hafyzuddin Md Yusuf
Fakulti Perubatan
Universiti Malaya