Hakim Danish tekad terus momentum cemerlang di GP Hungary

Foto FB Hakim Danish

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Pelumba muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli bertekad meneruskan momentum cemerlang selepas meraih podium sulung dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 menjelang Grand Prix (GP) Hungary di Litar Balaton Park dari 5 hingga 7 Jun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Belajar pengurusan perlumbaan, strategi dan ketenangan ketika berdepan tekanan hasil pengalaman berlumba di barisan hadapan hingga ke garisan penamat.
  • Mengakui cabaran di Litar Balaton Park kerana belum pernah berlumba di sana namun yakin menyesuaikan diri dengan cepat melalui persiapan rapi.
  • Kini menghuni kedudukan ke-11 keseluruhan Moto3 dengan 43 mata serta bertekad mengekalkan momentum cemerlang.

Hakim Danish hadir ke pusingan kelapan musim ini dengan keyakinan tinggi selepas mencipta sejarah peribadi menerusi pencapaian tempat ketiga di GP Itali di Mugello pada Ahad lepas.

Kejayaan itu bukan sahaja keputusan terbaik dalam kariernya di pentas dunia, malah menamatkan penantian 10 tahun Malaysia untuk kembali menaiki podium dalam saingan Moto3.

“Banyak pengajaran diperoleh daripada perlumbaan di Mugello terutama dalam aspek pengurusan perlumbaan, strategi dan ketenangan ketika berhadapan tekanan sengit bersama-sama barisan pelumba terbaik dunia.

“Pengalaman bersaing dalam kelompok hadapan sehingga ke garisan penamat memberikan pemahaman lebih mendalam mengenai cara mengendalikan jentera dan membuat keputusan penting ketika perlumbaan memasuki fasa kritikal,” kata pelumba berusia 18 tahun itu menerusi kenyataan ZK Racing hari ini.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mengakui cabaran di Hungary bakal berbeza kerana beliau belum pernah berlumba di Litar Balaton Park, namun yakin mampu menyesuaikan diri dengan cepat hasil persiapan yang dilakukan.

Selepas tujuh pusingan musim ini, Hakim Danish kini menghuni tangga ke-11 keseluruhan Moto3 dengan mengumpul 43 mata. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.