
GENEVA, 2 Jun – Pertubuhan kesihatan global, Gabungan Inovasi Kesiapsiagaan Epidemik (CEPI) akan menyalurkan hampir AS$60 juta kepada syarikat bioteknologi terkemuka dari Amerika Syarikat, Moderna dan dua lagi organisasi bagi mempercepat pembangunan vaksin untuk Ebola Bundibugyo, iaitu varian virus berbahaya yang sedang menular di timur Republik Demokratik Congo.
- CEPI memperuntukkan sehingga AS$50 juta untuk sokongan pembangunan praklinikal, ujian awal, pengeluaran dan ujian lanjut jika keputusan awal positif.
- CEPI turut menyediakan sehingga AS$8.6 juta kepada Universiti Oxford/Institut Serum India dan AS$3.2 juta kepada IAVI untuk vaksin lain.
- Ketua CEPI menyatakan vaksin mungkin sedia untuk ujian klinikal dalam beberapa bulan, tetapi keselamatan timur Congo boleh menyukarkan pelaksanaan ujian.
- Gavi mengumumkan bantuan sehingga AS$50 juta, dan Dana Pandemik Bank Dunia menyediakan geran sehingga AS$220.6 juta; wabak diisytihar kecemasan kesihatan awam.
CEPI sebelum ini merupakan antara organisasi yang membantu membiayai pembangunan vaksin ketika pandemik COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif CEPI, Richard Hatchett berkata, vaksin Ebola Bundibugyo berkemungkinan dapat disediakan untuk ujian klinikal dalam tempoh beberapa bulan.
“Setakat ini, belum ada vaksin atau rawatan yang diluluskan khusus untuk penyakit itu. Setiap hari amat penting dalam usaha menentang penyakit maut ini,” katanya.
Menurut beliau, harapan untuk menghasilkan vaksin dalam masa terdekat perlu disertai perancangan mengenai pihak yang akan membeli serta membiayai pengedaran vaksin tersebut.
Namun, beliau mengingatkan bahawa pembangunan vaksin sering berdepan pelbagai cabaran, manakala keadaan keselamatan yang tidak menentu di timur Congo boleh menyukarkan pelaksanaan ujian klinikal.
CEPI telah memperuntukkan sehingga AS$50 juta bagi menyokong pembangunan praklinikal dan ujian klinikal peringkat awal vaksin Ebola Bundibugyo yang sedang dibangunkan oleh Moderna.
Dana itu juga akan digunakan untuk pengeluaran vaksin serta ujian peringkat seterusnya sekiranya keputusan awal menunjukkan hasil yang positif.
Selain Moderna, CEPI turut menyediakan sehingga AS$8.6 juta untuk vaksin yang dibangunkan oleh Universiti Oxford dan dihasilkan oleh Institut Serum India.
Sebanyak AS$3.2 juta lagi diperuntukkan kepada Inisiatif Vaksin AIDS Antarabangsa (IAVI) bagi pembangunan vaksinnya.
Beliau berkata, selepas vaksin berjaya dibangunkan, cabaran seterusnya ialah memastikan bekalan vaksin dapat disalurkan ke kawasan yang memerlukannya.
Dalam perkembangan lain, Perikatan Vaksin Global (Gavi) mengumumkan bantuan sehingga AS$50 juta bagi menyokong usaha menangani wabak Ebola.
Pada masa sama, Dana Pandemik di bawah Bank Dunia menyediakan geran sehingga AS$220.6 juta.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak itu telah menyebabkan 282 kes disahkan, termasuk 42 kematian selain kira-kira 1,100 lagi kes masih disyaki dan dalam siasatan.
Di Uganda, sembilan kes telah disahkan, termasuk satu kematian.
Agensi kesihatan antarabangsa telah mengisytiharkan wabak tersebut sebagai kecemasan kesihatan awam. – REUTERS