Piala Dunia: Los Angeles perketat kawalan keselamatan

Pemandangan Stadium Los Angeles di Inglewood ketika bandar itu membuat persiapan menjelang Piala Dunia FIFA 2026/Foto REUTERS

LOS ANGELES, 2 Jun – Pihak berkuasa di Los Angeles memberi jaminan tahap keselamatan akan dipertingkat sepanjang kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 yang berlangsung bulan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anggota polis akan ditempatkan di stadium, kawasan tontonan awam, stesen pengangkutan dan lokasi tumpuan peminat sepanjang kejohanan.
  • Peguam Daerah umum kehadiran penguat kuasa dipertingkat 11 Jun hingga 19 Julai; siapa melakukan jenayah akan ditangkap dan didakwa.
  • Sheriff nyatakan kawalan tambahan untuk perlawanan membabitkan Iran dan pemantauan terhadap bantahan atau ancaman keselamatan sekitar stadium.

Ketua Polis Los Angeles berkata persiapan keselamatan sudah dilakukan sejak beberapa tahun lalu bagi memastikan penduduk dan pelancong dapat menikmati suasana kejohanan dengan selamat.

Katanya, anggota polis akan ditempatkan di stadium, kawasan tontonan awam, stesen pengangkutan dan lokasi tumpuan peminat sepanjang kejohanan berlangsung.

“Apabila peminat memenuhi jalan dan venue di Los Angeles, anggota polis akan berada di lokasi bagi memastikan semua pengunjung dan penduduk menikmati pengalaman yang selamat dan bermakna,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan atau jenayah sepanjang kejohanan supaya tidak menjadikan Los Angeles sebagai sasaran.

Sementara itu, Peguam Daerah Los Angeles berkata kehadiran penguat kuasa akan dipertingkat bermula 11 Jun hingga 19 Julai ini.

Katanya, sesiapa yang melakukan jenayah sepanjang tempoh berkenaan akan ditangkap dan didakwa.

“Ini bukan masa yang sesuai untuk melakukan jenayah kerana kehadiran penguat kuasa akan berada pada tahap maksimum,” katanya.

Dalam pada itu, Sheriff Daerah Los Angeles, berkata kawalan tambahan turut akan diberikan untuk perlawanan membabitkan Iran susulan situasi geopolitik semasa.

Menurutnya, pihak keselamatan sedang memantau sebarang kemungkinan termasuk bantahan atau ancaman keselamatan di sekitar stadium dan kawasan peminat.

Amerika Syarikat (AS) menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2026 bersama Mexico dan Kanada.

Los Angeles dijadual menjadi tuan rumah lapan perlawanan termasuk aksi pembukaan Amerika Syarikat menentang Paraguay pada 12 Jun di Stadium SoFi. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.