
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Keberanian mengambil risiko pada saat-saat akhir perlumbaan menjadi pemisah buat pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli apabila berjaya meraih podium sulung dalam Kejuaraan Motosikal Dunia di Grand Prix (GP) Itali, semalam.
- Saingan di Litar Mugello sangat kompetitif; kedudukan kelompok hadapan sentiasa berubah sepanjang perlumbaan.
- Perlumbaan sangat sengit; pelumba berlumba pada had maksimum dari awal hingga akhir.
- Hakim Danish kekal tenang, memintas pelumba lain satu demi satu pada pusingan terakhir untuk naik podium.
- Menamatkan 0.456 saat di belakang pemenang; kini ke-11 keseluruhan dengan 43 mata dan ke GP Hungary.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi Muhammad Hakim Danish dalam kenyataan mengakui saingan di Litar Mugello berlangsung cukup kompetitif dengan kedudukan kelompok hadapan sentiasa berubah sepanjang perlumbaan.
“Sebarang kesilapan kecil mampu menjejaskan peluang untuk berada dalam kelompok terbaik, namun memilih untuk kekal tenang dan terus memberikan sepenuh komitmen sehingga ke garisan penamat.
“Perlumbaan memang sangat sengit. Kelompok hadapan sentiasa bertukar kedudukan dan kami berlumba pada had maksimum dari awal hingga akhir. Saya tahu satu kesilapan kecil sahaja boleh mengubah segala-galanya.
“Walaupun pada pusingan terakhir saya sedikit ke belakang, saya tidak berputus asa. Saya cuba kekal tenang dan mencari ruang untuk memintas pelumba lain satu demi satu, dan Alhamdulillah strategi itu berjaya membawa saya ke podium,” katanya.
Hakim Danish menamatkan perlumbaan dengan catatan 33 minit 08.256 saat, hanya 0.456 saat di belakang pemenang perlumbaan, Brian Uriarte dari pasukan Red Bull KTM Ajo. Tempat kedua pula menjadi milik rakan sepasukannya, Alvaro Carpe.
Lebih manis, pencapaian tersebut menyaksikan pelumba berusia 18 tahun itu muncul rakyat Malaysia pertama menaiki podium Moto3 sejak Khairul Idham Pawi memenangi GP Argentina pada 2016.
Hakim Danish kini menghuni tangga ke-11 keseluruhan carta kejuaraan Moto3 dengan 43 mata dan akan meneruskan cabaran pada GP Hungary hujung minggu ini.