
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang menyertai kelompok elit legenda sukan tanah air sebagai penerima kurniaan Darjah Bakti (DB) daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini.
- Anugerah Persekutuan hanya dihadkan kepada 10 penerima hidup, menjadikan pengiktirafan itu amat signifikan.
- Azizulhasni menjadi atlet ketiga menerima darjah berprestij selepas Lee Chong Wei dan Nicol Ann David.
- Beliau terkejut dan bersyukur, menganggap anugerah sebagai dorongan untuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia.
- Rekod: juara dunia keirin 2017, perak Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa Olimpik Rio 2016.
Pengiktirafan itu amat signifikan memandangkan anugerah Persekutuan berkenaan hanya dihadkan kepada 10 orang penerima yang masih hidup pada satu-satu masa atas sumbangan luar biasa mereka kepada negara.
Pengurniaan bersempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 itu sekali gus meletakkan jaguh berbasikal trek negara berusia 38 tahun berkenaan sebagai atlet ketiga dalam sejarah yang menerima darjah berprestij itu selepas legenda badminton, Datuk Lee Chong Wei pada 2021 dan bekas ratu skuasy dunia, Datuk Nicol Ann David pada 2024.
Beliau menzahirkan rasa terkejut dan syukur kerana tidak pernah menjangkakan akan menerima pengiktirafan berkenaan yang disifatkannya sebagai antara anugerah tertinggi negara selepas Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang dianugerahkan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada istiadat yang sama.
“Saya sungguh terkejut dan bersyukur Alhamdulillah apabila dimaklumkan mengenai penganugerahan ini. Sudah tentu ia memberikan semangat tambahan untuk saya terus berjuang dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia nanti,” katanya.
Pelumba yang terkenal dengan julukan “The Pocket Rocketman” itu turut menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai sumber inspirasi buat seluruh komuniti atlet di Malaysia untuk terus menabur bakti dengan penuh keikhlasan.
“Jika kita berjuang dengan ikhlas demi negara, sentiasa memberikan yang terbaik serta menjaga nama baik Malaysia, insya-Allah segala usaha dan pengorbanan itu akan dihargai. Apa yang paling penting adalah mengejar kejayaan terlebih dahulu dan memberikan komitmen sepenuhnya untuk negara tercinta. Soal penghargaan dan pengiktirafan akan hadir kemudian, insya-Allah,” katanya
Dikenali sebagai “The Pocket Rocketman”, Azizulhasni mencipta sejarah sebagai juara dunia keirin 2017 serta meraih pingat perak Olimpik Tokyo 2020 dan pingat gangsa Olimpik Rio 2016, sekali gus meletakkan namanya sebagai antara atlet paling berjaya dalam sejarah sukan negara.