YDP Agong berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran

YDP Agong menyempurnakan istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan kepada 161 penerima

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketibaan Baginda berdua disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
  • Lagu Negaraku dimainkan, Panji Peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan dan tembakan meriam 21 das dilaksanakan.
  • Pengurniaan Darjah Kebesaran kepada 161 penerima disempurnakan di Balairung Seri, turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri.

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut berkenan berangkat ke istiadat yang berlangsung di Istana Negara, sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Perdana Menteri serta isteri kemudian mengiringi Baginda berdua bagi menerima Hormat Diraja daripada Kawalan Kehormatan Utama Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada sembilan pegawai dan 180 anggota lain-lain pangkat diketuai, Kapten Nor Saifullah Mahmad @ Mohammed.

Lagu Negaraku dimainkan Pancaragam Pusat RAMD dan Panji Peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan, diikuti tembakan meriam 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat).

Sultan Ibrahim kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama sebelum sekali lagi menerima Hormat Diraja bagi menandakan tamatnya istiadat itu.

Baginda berdua kemudian diiringi Perdana Menteri serta isteri ke Balairung Seri bagi menyempurnakan istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan kepada 161 penerima.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta anggota Jemaah Menteri termasuk Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan perwakilan asing.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.