
TOKYO, 1 Jun – Harga minyak dunia mencatatkan peningkatan semula apabila pasaran dibuka pada Isnin susulan laporan hujung minggu bahawa Amerika Syarikat (AS) telah mengetatkan syarat rundingannya dengan Iran bagi menamatkan konflik di Asia Barat.
- West Texas Intermediate naik 2.5 peratus kepada AS$89.60 setong.
- Minyak Brent untuk penghantaran Ogos sekitar AS$93.16 setong, naik kira-kira 2.2 peratus.
- Sentimen pasaran kembali berhati-hati selepas laporan Trump memulangkan draf MoU dengan syarat rundingan lebih ketat.
Penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) meningkat 2.5 peratus kepada AS$89.60 setong.
Sementara itu, minyak mentah Brent Laut Utara bagi penghantaran Ogos didagangkan sekitar AS$93.16 setong, melonjak kira-kira 2.2 peratus berbanding paras penutup pada Jumaat lalu.
Kenaikan mendadak itu berlaku selepas harga minyak mentah dunia menyusut lebih 11 peratus pada minggu lepas, berikutan harapan tinggi pelabur terhadap perjanjian damai yang bakal dimeterai dalam masa terdekat.
Perjanjian damai tersebut sebelum ini dijangka membolehkan pembukaan semula Selat Hormuz, yang merupakan laluan maritim utama bagi transit sebahagian besar bekalan minyak global.
Bagaimanapun, sentimen pasaran kembali berwaspada selepas The New York Times dan beberapa media AS melaporkan pada hujung minggu bahawa Presiden AS, Donald Trump, telah memulangkan draf memorandum persefahaman (MoU) baharu ke Tehran dengan beberapa syarat rundingan yang lebih ketat. – AFP