
MANAGUA, 1 Jun – Pemimpin Orang Asal Nicaragua yang juga bekas ahli kongres, Brooklyn Rivera, meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan selepas hampir tiga tahun berada dalam tahanan.
- Kementerian Kesihatan mengesahkan beliau meninggal akibat kemerosotan fizikal dan neurologi selepas jangkitan bakteria berkaitan COVID-19.
- Rivera mengetuai parti Yatama memperjuangkan hak Miskito; beliau ditahan sejak September 2023 tanpa asas penahanan didedahkan.
- Amnesty International mengisytiharkan beliau sebagai tahanan hati nurani berikutan penahanan tanpa bicara.
- Anak perempuan menafikan keluarga hadir semasa kematian dan menuntut penyerahan mayat untuk pengebumian adat Miskito.
Kementerian Kesihatan Nicaragua dalam satu kenyataan pada Ahad mengesahkan mendiang yang berusia 73 tahun, meninggal dunia akibat “kemerosotan fizikal dan neurologi” susulan jangkitan bakteria yang berpunca daripada virus COVID-19.
Menurut kementerian itu, pasukan doktor telah melakukan usaha yang termampu dan intensif” di hospital bagi menyelamatkan nyawa tokoh terkemuka kaum Miskito berkenaan.
Rivera, yang mengetuai parti politik Orang Asal Yatama (Anak-Anak Bumi Bersatu) bagi memperjuangkan hak komuniti peribumi di Nicaragua, telah ditahan oleh kerajaan pimpinan Presiden Daniel Ortega sejak September 2023 atas alasan yang tidak pernah didedahkan kepada umum.
Susulan penahanan tanpa bicara itu, badan hak asasi manusia antarabangsa, Amnesty International, telah mengisytiharkan beliau sebagai tahanan hati nurani (prisoner of conscience).
Meskipun pihak berkuasa Nicaragua tidak pernah mendedahkan asas penahanannya, laporan media mendedahkan bahawa kerajaan Nicaragua memaklumkan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia pada November 2024 bahawa imuniti parlimen Rivera telah ditarik balik untuk menyiasatnya atas jenayah berat, termasuk khianat.
Rabu lalu, kerajaan Nicaragua menyiarkan foto Rivera yang kelihatan sangat kurus kering dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan selepas mengakui kesihatannya berada dalam keadaan “kritikal”.
Pendedahan foto tersebut mencetuskan reaksi segera daripada pihak AS yang menggesa pembebasan Rivera atas faktor kemanusiaan, namun rayuan itu tidak diendahkan sehingga laporan kematiannya diumumkan.
Sementara itu, anak perempuan mendiang, Tininiska Rivera, yang kini hidup dalam buangan, menafikan kenyataan kerajaan kononnya ahli keluarga terdekat berada di sisi Rivera ketika beliau menghembuskan nafas terakhir.
Beliau turut menuntut agar kerajaan menyerahkan mayat bapanya bagi membolehkan urusan pengebumian dilakukan mengikut adat dan tradisi kaum Miskito.
Nicaragua di bawah pentadbiran Ortega, 80, kini berhadapan dengan sekatan ekonomi oleh AS dan Kesatuan Eropah (EU) selepas dituduh menjalankan pemerintahan diktator, menghapuskan suara penentang, serta memenjarakan ratusan pengkritik politik sehinggakan sebahagian daripada mereka dilucutkan kewarganegaraan. – AFP