Pelaksanaan B15 tidak ganggu operasi stesen minyak

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 31 Mei Pelaksanaan biodiesel B15 yang bermula 1 Jun dijangka tidak mengganggu operasi stesen minyak di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan hanya melibatkan dokumentasi dan keperluan memberi penerangan kepada pengguna mengenai penggunaan biodiesel B15.
  • Pengusaha stesen akan menyampaikan bahawa biodiesel B15 selamat digunakan oleh kebanyakan kenderaan diesel di Malaysia.
  • Kandungan biodiesel lebih tinggi meningkatkan mendapan minyak sawit; pengusaha perlu meningkatkan kekerapan penukaran penapis diesel.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, keadaan itu susulan perbezaan utama pelaksanaan inisiatif tersebut hanya melibatkan aspek dokumentasi serta keperluan memberi penerangan kepada pengguna berhubung penggunaan biodiesel B15.

“Bergantung kepada arahan syarikat minyak dan pihak kerajaan, kami akan menggunakan maklumat yang diberikan untuk menyampaikan kepada pelanggan bahawa biodiesel B15 ini selamat digunakan oleh kebanyakan kenderaan diesel di Malaysia,” katanya ketika dihubungi RTM.

Sementara itu, mengulas kesan pelaksanaan inisiatif tersebut terhadap pengurusan bekalan, beliau berkata pengusaha stesen minyak perlu meningkatkan kekerapan penukaran penapis diesel berikutan peningkatan campuran biodiesel.

“Kandungan biodiesel yang lebih tinggi akan menyebabkan peningkatan mendapan daripada minyak sawit. Oleh itu, kami perlu meningkatkan kekerapan penukaran penapis diesel,” katanya.

Bermula 1 Jun, Malaysia akan menyaksikan peralihan tenaga melibatkan peningkatan kadar adunan biodiesel secara berperingkat daripada B10 kepada B15 di seluruh Semenanjung Malaysia, yang dilaksanakan di 19 loji pengeluaran berlesen di seluruh negara.

Pelaksanaan biodiesel B15 merupakan campuran 15 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit dan 85 peratus diesel petroleum, bagi menghasilkan bahan api alternatif untuk kenderaan enjin diesel.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam mengoptimumkan penggunaan sumber tenaga tempatan serta membantu menstabilkan kos bahan api diesel di pasaran domestik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.