
NEW YORK, 19 September – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres kesal dengan tindakan Amerika Syarikat (AS) menafikan visa kepada pegawai Palestin sehingga menghalang Presiden Palestin Mahmoud Abbas daripada menghadiri Minggu Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung PBB tahun ini secara fizikal, lapor Xinhua.
- Guterres menggesa AS memastikan visa dikeluarkan kepada semua delegasi menurut Perjanjian Ibu Pejabat PBB-AS 1947.
- Setiausaha Agung akan terus berhubung dengan pihak berkuasa AS mengenai penafian visa kepada pegawai Palestin.
- Perhimpunan Agung meluluskan resolusi membolehkan Abbas menyertai perbahasan secara maya selepas AS mengekalkan penafian visa.
“Setiausaha Agung amat kesal dengan pengumuman Amerika Syarikat untuk melanjutkan sekatan yang akan menyebabkan anggota Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan pegawai Pihak Berkuasa Palestin dinafikan visa bagi menyertai mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata jurucakap Guterres, Stephane Dujarric.
Guterres menggesa AS selaku negara tuan rumah memastikan visa dikeluarkan kepada semua delegasi selaras dengan tanggungjawabnya di bawah Perjanjian Ibu Pejabat PBB-AS 1947.
Menurut Dujarric, Guterres akan terus berhubung dengan pihak berkuasa AS berhubung perkara itu.
Perhimpunan Agung pada Khamis menerima pakai satu resolusi yang membolehkan Abbas menyertai Perbahasan Umum tahun ini secara maya.
Keputusan itu dibuat sehari selepas Jabatan Negara AS mengumumkan bahawa visa akan terus dinafikan kepada pegawai Palestin termasuk Abbas, sekali gus menghalangnya menghadiri Minggu Peringkat Tinggi secara fizikal untuk tahun kedua berturut-turut. – BERNAMA-XINHUA