
KANGAR, 19 September – 30 peserta di kawasan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Santan di sini menyertai Program Peningkatan Ekonomi Komuniti Melalui Upcycling atau Peningkatan Nilai Sisa.
- Program bertujuan mewujudkan peluang keusahawanan bagi penduduk kampung terutama golongan B40 melalui upcycling dan peningkatan nilai sisa.
- Inisiatif memupuk budaya komuniti yang bertanggungjawab terhadap kebersihan melalui pengurangan sisa dan penggunaan semula bahan terpakai.
- Selaras Matlamat Pembangunan Mampan 12.5, fokus kepada pencegahan, pengurangan, pengitaran semula dan penggunaan semula bagi kurangkan penjanaan sisa.
- SWCorp Perlis menyumbang set permulaan mesra alam dan menyampaikan plak penghargaan kepada rakan kolaboratif strategik sebagai sokongan pembudayaan 5R.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) SWCorp, Syahrul Nizam Saleh, program anjuran agensi itu bertujuan mewujudkan peluang keusahawanan dalam kalangan penduduk kampung khususnya golongan B40.
Perkara itu sekali gus dapat membentuk budaya komuniti lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar melalui pengurangan sisa dan penggunaan semula bahan terpakai.
“Usaha ini adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan perkara 12.5 iaitu mengurangkan penjanaan sisa secara ketara menjelang tahun 2030 melalui aktiviti pencegahan, pengurangan, pengitaran semula dan penggunaan semula.
“Inisiatif-inisiatif seumpama ini diharapkan dapat memperkasakan komuniti dengan kemahiran, pengetahuan dan peluang keusahawanan dalam bidang ekonomi hijau selaras dengan agenda pembangunan mampan serta usaha kerajaan dalam memperkukuhkan amalan ekonomi kitaran di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkataq demikian pada Pelancaran Program Peningkatan Ekonomi Komuniti Melalui Upcycling atau Peningkatan Nilai Sisa di The Kitchen Studio Event Space di sini.
Bersempena dengan program itu, SWCorp Perlis juga menyumbangkan 30 unit set permulaan mesra alam sebagai permulaan bagi menghasilkan produk peningkatan nilai sisa di rumah masing-masing.
SWCorp turut meraikan rakan kolaboratif strategik dengan penyampaian Plak Penghargaan kepada Universiti Malaysia Perlis, Hotel Putra Regency Dan JPKKP Kampung Santan di atas komitmen yang diberikan dalam memperkasakan pembudayaan 5R di masyarakat di Negeri Perlis.