
KUALA LUMPUR, 19 September – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur telah selesai melengkapkan kertas siasatan berhubung kes samun berkumpulan kediaman milik seorang lelaki warga China di Pavilion Embassy pada 7 September lalu.
- Kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 17 September 2026.
- Enam lelaki warga asing telah dituduh di Mahkamah Sesyen secara in absentia pada 18 September 2026; waran tangkap dimohon.
- Pengarah Pendakwaan Negeri mengarahkan pertuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas samun berkumpulan menggunakan senjata.
- PDRM akan memohon Notis Merah INTERPOL untuk mengesan suspek; orang ramai diminta memberi maklumat ke balai polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Pesuruhjaya Polis (CP) Datuk Fadil Marsus dalam kenyataan memaklumkan kertas siasatan berkenaan juga telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 17 September 2026.
“Pada 18 September 2026, seramai enam (6) lelaki warga asing telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tanpa kehadiran tertuduh (in absentia). Semasa prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah, Timbalan Pendakwa Raya telah membuat permohonan waran tangkap terhadap kesemua tertuduh,” menurut kenyataan itu hari ini.
Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) telah mengarahkan kesemua suspek yang dikenal pasti didakwa bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata.
Mahkamah menetapkan tarikh baharu pada 16 Oktober 2026 untuk sebutan permohonan waran tangkap tersebut.
Susulan itu, PDRM akan meneruskan proses permohonan Red Notice (Notis Merah) melalui Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi mengesan dan memburu kesemua suspek yang terlibat.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kedudukan atau pergerakan suspek diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.