
KOTA KINABALU, 31 Mei- Kerajaan Sabah menyambut baik pengumuman bayaran interim berjumlah RM1.5 bilion bagi pemberian khas kepada negeri itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menghargai pengumuman Perdana Menteri dan jaminan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.
- Beliau berharap dana disalurkan segera demi manfaat rakyat.
- Kerajaan negeri komited bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk merealisasikan peruntukan MA63, termasuk pemberian khas 40 peratus.
- Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata peningkatan pembayaran interim membuktikan rundingan berjaya dan menepis dakwaan tidak berasas.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pengumuman yang dibuat Perdana Menteri pada Sabtu amat dihargai, selain menyambut baik jaminan beliau untuk terus menghormati dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan menunaikan apa yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut berharap dana berkenaan dapat disalurkan segera demi manfaat rakyat.
Datuk Seri Hajiji berkata jaminan yang diberikan Perdana Menteri ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan terhadap hak-hak Perlembagaan Sabah.
Beliau menegaskan kerajaan negeri komited untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan semua peruntukan di bawah MA63, khususnya pemberian khas 40 peratus, dapat direalisasikan.
Pada Sabtu, Perdana Menteri mengumumkan peningkatan geran khas interim kepada Sabah yang melonjak kepada RM1.5 bilion tahun ini berbanding RM600 juta sebelum ini.
Beliau berkata langkah itu dilaksanakan sebagai penyelesaian sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri itu dimuktamadkan menerusi perundingan rasmi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peningkatan bayaran interim kepada Sabah membuktikan pendekatan rundingan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan berjaya membawa hasil.
Menurut beliau, pengumuman Perdana Menteri itu turut mencerminkan kesungguhan kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji dalam memperjuangkan hak Sabah menerusi saluran rundingan, sekali gus menepis dakwaan bahawa Kerajaan Negeri tidak serius dalam memperjuangkan hak negeri khususnya berkaitan tuntutan di bawah MA63.
“Peningkatan pembayaran ini juga menolak dakwaan tidak berasas kononnya Kerajaan Negeri Sabah tidak memperjuangkan hak-hak Sabah,” katanya dalam kenyataan berasingan pada Sabtu.