
KUALA LUMPUR, 28 Mei -Kegagalan fungsi sistem pertukaran landasan, antara fokus utama siasatan awal berhubung insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin, semalam.
- Gerabak pertama di landasan ke Putra Heights, gerabak berikutnya di landasan ke Ampang, menyebabkan enam gerabak berada pada dua hala berbeza.
- Dua gerabak pertama tergelincir selepas tarikan dari bahagian belakang menarik keluar gerabak hadapan.
- Kementerian tubuhkan pasukan petugas khas bebas, diketuai pegawai kanan dan pakar rel; laporan lengkap perlu disiapkan dalam 30 hari.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, berdasarkan maklumat awal Prasarana, gerabak pertama tren berada di landasan menghala ke Putra Heights.
Namun, gerabak seterusnya berada di landasan menghala ke Ampang, menyebabkan keseluruhan enam gerabak berada pada dua hala laluan berbeza.
Keadaan itu menyebabkan daya tarikan dari bahagian belakang menarik keluar gerabak pertama, sebelum dua gerabak pertama tergelincir sepenuhnya daripada landasan.
Bagaimanapun, punca sebenar sama ada melibatkan kecuaian manusia, kerosakan sistem atau kegagalan teknikal masih belum dimuktamadkan.
“Semua maklumat yang diperlukan oleh pasukan petugas khas perlu disediakan oleh Prasarana untuk melihat kepada punca kejadian.
“Yang paling penting ialah log dalam sistem, termasuk apa yang berlaku di pusat kawalan dan apa yang berlaku kepada sistem isyarat atau signalling system,” katanya dalam sidang media selepas sesi lawatan ke lokasi kejadian.
Tambahnya Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan petugas khas yang bebas daripada Prasarana bagi menyiasat punca sebenar kejadian.
Pasukan itu akan diketuai seorang pegawai kanan Kementerian Pengangkutan, dengan penglibatan pakar dalam bidang kejuruteraan rel.
Pasukan berkenaan diberi tempoh maksimum 30 hari untuk menyediakan laporan, sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi tindakan susulan dan dihebahkan kepada umum.